comscore
Tumpuan :
Nasional

Cuaca panas: Waspada ‘tingkah laku’ haiwan berbisa

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Kebombaan dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, PPjB Khairul Azuwan Ibrahim

Oleh Nur Ain Zulfah Yahya

PETALING JAYA: Cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini mendorong haiwan liar termasuk dari spesies berbisa keluar dari habitat asal mereka dan keluar mencari tempat sejuk untuk berteduh.

“Haiwan reptilia berdarah sejuk kebiasaannya akan keluar mencari habitat lain sekiranya cuaca panas berlarutan.

“Kebiasaannya haiwan ini akan berlindung di kediaman manusia berikutan tidak dapat tahan dengan cuaca panas yang ekstrem,”kata Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Kebombaan dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, PPjB Khairul Azuwan Ibrahim, ketika ditemubual menerusi program Malaysia Hari Ini, pagi tadi.

Oleh demikian Khairul Azuwan berkongsi beberapa langkah bagi mengelak haiwan berbisa.

Berikut langkah yang dikongsikan:

1. Tutup ruang berpotensi haiwan berbisa memasuki rumah.
2. Elak menyimpan makanan yang boleh menarik perhatian haiwan berbisa.
3. Letak haiwan peliharaan di dalam sangkar.

Khairul Azuwan turut berkongsi langkah mengelak dari pembakaran terbuka di musim panas melampau.

“Kita akan menghadapi musim kemarau Monsun Barat Daya bermula 15 Mei sehingga September dengan taburan hujan yang sedikit, selain taburan hujan yang dibawah paras purata.

“Pembakaran akan menyumbang kepada jerebu ataupun alam sekitar yang tidak sihat,” katanya.

Langkah mengelak pembakaran terbuka:

1. Individu perlu memainkan peranan memberi nasihat kepada ahli keluarga, rakan supaya menghindari diri daripada melakukan pembakaran terbuka.
2. Buat aduan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat individu tidak bertanggungjawab membuat pembakaran di kawasan terbuka.
3. Tanam sampah.
4. Amalkan aktiviti kitar semula barangan terpakai.
5. Peka dengan cuaca terkini, dapatkan maklumat terkini di media sosial, contohnya di MET Malaysia.

Sementara itu beliau berkata pihak bomba sudah membuat persediaan rapi bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara dalam berdepan musim panas melampau.

“Cuti anggota bomba dihadkan bagi persiapan berdepan kemungkinan yang berlaku di musim panas. Menggerakkan kesiapsiagaan dari segi logistik seperti penggunaan helikopter dan ‘water tanker.” Katanya.
“Pihak Bomba bekerjasama dengan agensi penyelamat yang lain seperti JPS, METMalaysia, dan Jabatan Alam Sekitar bagi mendapatkan data, dan menggunakan fasiliti sedia ada bagi pemadaman api sekiranya kebakaran berlaku,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan fenomena Monsun Barat Daya yang dijangka berlaku pada Mei hingga September menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh tersebut dan di jangka Malaysia akan menghadapi musim kering sepanjang tempoh tersebut.

Loading...
Terkini