ALOR SETAR: Panggilan kes tangkapan ular di negeri ini mencecah kepada 1,568 kes hanya dalam tempoh dua bulan sepanjang cuaca panas atau fenomena El Nino ini bermula Januari lalu.
Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah, berkata jumlah kes membabitkan tangkapan replitia itu dijangka meningkat susulan amaran gelombang haba tahap dua di Pokok Sena yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang suhunya boleh mencecah sehingga 40 darjah Celcius.
Beliau berkata, enam daerah lain yang berada di tahap satu iaitu Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Baling, Pendang dan Kota Setar.Katanya, daerah Kuala Muda mencatatkan kes tangkapan ular paling tinggi setakat ini iaitu 255 kes diikuti Kota Setar (245 kes) dan Kulim (183).
“Antara faktor yang menyebabkan ular keluar dari habitat asalnya adalah disebabkan reptilia itu kehilangan habitat asal akibat faktor pembangunan selain mencari tempat serta sumber makanan di kediaman manusia.
“Selain itu, ular terpaksa keluar dari habitat untuk mencari kawasan lebih redup dan banyak sumber makanan.
“Apabila di kawasan atau habitat asal kurang sumber makanan, reptilia ini akan keluar dan masuk ke kediaman manusia selain menjadikan binatang peliharaan sebagai mangsanya,” katanya ketika ditemui di Pejabat APM Kota Setar, di sini semalam.
Saifuddin berkata, boleh dikatakan setiap hari anggotanya menerima panggilan kes berkaitan ular terutamanya di daerah Kota Setar termasuk Pokok Sena yang dilaporkan paling panas ketika ini.
Beliau berkata, ular biasanya akan menyorok di kawasan seperti bawah katil, bawah sofa, dalam tandas, atas alang kayu rumah, dalam longgokan kain, pasu bunga dan dalam kasut yang dirasakan sejuk untuk ‘berehat’.
Beliau berkata, namun apabila reptilia itu merasa ia terancam, ia akan menyerang manusia dan mematuk atau menyembur bisa bergantung pada spesis ular berkenaan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak memukul atau menangkap ular sesuka hati kerana bimbang dipatuk ular terutamanya spesis paling berbisa iaitu ular tedung selar atau ‘King Cobra’.
Saifuddin turut menasihatkan orang ramai supaya melakukan tindakan sewajarnya sekiranya dipatuk ular iaitu bertenang, hadkan pergerakan, jangan menyedut tempat dipatuk, tekan luka patukan dengan kain bersih.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya meminum banyak air kosong untuk mengelakkan dehidrasi berlaku selain strok haba jika terdedah terlalu lama di tengah panas.
“Anggota kami di negeri ini sentiasa bersiap sedia untuk menghulurkan bantuan jika berlaku kejadian kecemasan atau kemalangan ketika cuaca panas ini,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.