Tumpuan :
Nasional

Cuaca panas, kering dijangka berterusan hingga Mac – MetMalaysia

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Malaysia kini berada di fasa penghujung Monsun Timur Laut, yang dijangka berakhir pada pertengahan Mac 2025, dengan keadaan cuaca yang lebih panas dan kering berbanding kebiasaan, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Ketua Pengarahnya, Mohd Hisham Mohd Anip berkata, litupan awan dan taburan hujan dijangka berkurangan, terutamanya di kawasan utara Semenanjung seperti Perak, Pahang dan Kelantan.

“Ketiadaan hujan dalam tempoh panjang boleh menyebabkan suhu meningkat melebihi 35°C pada waktu siang. Bacaan tertinggi setakat ini dicatat di FELDA Teloi Kanan, Baling, Kedah dengan suhu 36.1°C pada 11 Februari lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa fenomena itu adalah kejadian berulang setiap tahun dari Februari hingga Mei, namun keadaan kali ini dijangka tidak seteruk tahun 2024.

“Pengaruh La Nina yang lemah ketika ini dijangka membantu mengurangkan impak haba ekstrem berbanding tahun lalu,” tambahnya.

Selain suhu tinggi, MetMalaysia turut memberi amaran mengenai kemungkinan berlakunya gelombang haba dan jerebu setempat dalam tempoh berkenaan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga termasuk menjimatkan penggunaan air serta mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka.

“Kami menyarankan orang ramai mengehadkan aktiviti luar dan sentiasa peka terhadap keadaan cuaca bagi mengelakkan risiko kesihatan akibat cuaca panas,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau bekata, agensi itu akan terus memantau keadaan cuaca dan mengeluarkan makluman serta amaran terkini da orang ramai boleh mendapatkan maklumat melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi myCuaca, serta saluran media sosial jabatan berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini