Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Cuaca panas jejaskan pesawah, ganggu jadual penanaman

 

Keadaan sawah yang kering susulan cuaca panas berpanjangan di negeri Kedah.

Oleh Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Musim peralihan monsun yang menyebabkan cuaca panas berpanjangan tanpa hujan dapat dirasai kesannya di kawasan di sekitar utara tanah air.

Kedah menerima taburan hujan yang rendah di beberapa kawasan sekaligus membawa kesan terutamanya kepada aktiviti pertanian kepada petani yang turut bekerja dalam bulan Ramadan.

Tinjauan Buletin TV3 di kawasan sawah sekitar Kampung Perendam, Alor Setar mendapati petani menghadapi kesukaran menjalankan penanaman padi selepas musim penanaman baharu di kawasan dibawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bermula 12 April lalu.

Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia, Abdul Rashid Yob.

Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia, Abdul Rashid Yob, 41, berkata pesawah bimbang dengan keadaan cuaca panas terutamanya sepanjang Ramadan yang memungkinkan strok haba.

“Tidak ada banyak aktiviti yang dapat dijalankan kerana menjelang jam 11 pagi, pesawah berhenti melakukan kerja. Suhu panas ini berlarutan sehingga ke petang. Ini mengganggu pesawah kerana musim penanaman padi sudah bermula.”

Pesawah, Shokri Baharom.

Pesawah, Shokri Baharom, 61, berkata, keadaan tanah yang terlalu kering juga mengakibatkan lebih banyak air diperlukan untuk membasahi kawasan sawah.

“Tempoh pengairan yang lama di petak awal menyebabkan pesawah di petak hujung terpaksa menunggu lebih lama. Keadaan ini akan menyebabkan penanaman padi dilakukan secara berbeza dan lewat berbanding jadual yang ditetapkan MADA.”

Bagaimanapun, dari sudut positif petani katanya boleh membuat putaran kering bagi membantu memulihkan tanah sawah.

Rekod MADA mendapati tiga empangan dibawah seliaannya mempunyai simpanan air pada paras yang selamat iaitu Empangan Pedu mencatatkan simpanan 702,860 ekar kaki, Empangan Muda -76,900 ekar kaki dan Empangan Ahning 220,746 ekar kaki.

Jumlah takungan ini adalah diantara 61.52 hingga 99.3 peratus.

Loading...
Terkini