Tumpuan :
Nasional

Cuaca panas: Guru taska perlu lebih kreatif rancang aktiviti

Guru-guru Taska bersama bayi dan kanak-kanak dibawah jagaan mereka di Taska Anakku Khalifah di Bandar Baru, di sini. – FOTO: NSTP

GUA MUSANG: Cuaca panas ketika ini secara tidak langsung memberikan cabaran baharu terhadap guru taman asuhan kanak-kanak (Taska) di daerah ini apabila terpaksa mengehadkan aktiviti fizikal luar.

Guru taska Nur Farhani Mohd Shukri, 27, berkata dia dan guru lain perlu menjadi lebih kreatif merancang aktiviti untuk mengawal emosi kanak-kanak sekali gus mengelak mereka daripada meragam.

Menurut Nur Farhani, kanak-kanak lebih gemar melakukan aktiviti di luar premis memandangkan kawasan lebih luas dan mereka lebih bebas bergerak.

FOTO: NSTP

“Cabaran kita lebih, kita perlu cari aktiviti yang lebih kreatif untuk anak hilang kebosanan.

“Kalau cuaca tidak panas, kita boleh pujuk mereka main di taman, ambil udara luar atau tengok haiwan seperti burung. Sekarang ini, sebab panas tinggi sangat kita tak dapat buatlah aktiviti luar,” katanya kepada pemberita di Taska Anakku Khalifah di Bandar Baru di sini.

Nurul Syafiqah Zamri, 24, pula berkata dia perlu memberi perhatian yang lebih terutama terhadap bayi dan kanak-kanak bawah usia dua tahun.

“Memang berbeza dan mereka banyak meragam, ada kalanya mereka meminta susu lebih daripada kebiasaan.

“Kita akan menasihati ibu bapa untuk menyediakan pakaian yang bersesuaian dengan musim sekarang. Kami juga lebih kerap memandikan anak-anak,” katanya.

FOTO: NSTP

Sementara itu, pengusaha taska Siti Fatimah Zaharah Ahmad, 38, tidak menafikan cabaran lebih berganda ketika ini berikutan keadaan cuaca yang panas yang membantutkan aktiviti fizikal anak-anak jagaan taska berkenaan.

“Suhu terlalu panas sekarang jadi saya menitikberatkan keselamatan anak-anak. Saya lebih kerap ingatkan cikgu supaya anak-anak minum air kosong secukupnya dan memperbanyak aktiviti di dalam premis sahaja.

“Untuk aktiviti luar, kami hanya hadkan pada waktu pagi,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini