comscore
Tumpuan :
Nasional

Cuaca panas El Nino di Kedah berpotensi jadi episod paling teruk dalam sejarah negara – pakar

ALOR SETAR: Pakar bencana iklim meramalkan musim kering El Nino yang berterusan di Kedah berpotensi menjadi episod paling teruk dalam sejarah negara.

Pengarah Institut Pengurusan Bencana Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Chong Khai berkata berdasarkan analisis cuaca menunjukkan purata suhu harian tahun ini adalah tiga darjah Celsius melebihi normal.

Beliau berkata keadaan itu mampu menunjukkan situasi yang membimbangkan.

Ini jelas berbanding episod El Nino 2016, di mana Langkawi mengalami 27 hari tanpa hujan.

“Tahun ini, Perlis berlangsung selama 29 hari tanpa sebarang hujan dan kenaikan suhu global 0.6 darjah Celsius mungkin membawa kepada senario yang lebih buruk untuk El Nino 2024,” katanya.

Sementara itu, kemungkinan keadaan itu berlaku semakin ketara apabila fenomena El Nino atau cuaca panas yang melanda ketika ini dijangka berterusan sehingga bulan Ramadan atau awal April ini.

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) negeri Muhammad Khalil Abd Aziz berkata keadaan itu tidak dapat dielakkan disebalik sesetengah kawasan mengalami hujan baru-baru ini.

 

“Saya ingin menegaskan bahawa fasa akhir monsun timur laut, dengan jumlah hujan yang berkurangan, tidak bermakna tiada hujan langsung, sebaliknya kurang berbanding musim lain,” katanya.

Berdasarkan maklumat yang dikongsi Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) hari ini terdapat lapan kawasan di Semenanjung dan dua kawasan di Sabah diletakkan dalam kategori amaran cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga.

Menurut MetMalaysia, kawasan terlibat ialah seluruh Perlis, empat kawasan di Kedah (Pulau Langkawi, Padang Terap, Sik, Baling dan Kota Setar serta dua kawasan di Johor (Tangkak dan Muar).

Dua kawasan di Sabah yang diletakkan dalam kategori amaran cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga ialah di daerah Beaufort dan Kota Belud.

Status cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga dikeluarkan bagi suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Untuk maklumat terkini status cuaca panas harian, orang awam boleh rujuk https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini