IPOH: Cuaca panas yang melanda beberapa daerah di Perak yang dilaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) setakat ini tidak menjejaskan paras air di dua empangan utama di negeri ini.
Pengurus Besar Lembaga Air Perak (LAP), Datuk Ishak Abd Rahman, berkata laporan diterima LAP mendapati keadaan paras air di empangan di bawah seliaan LAP berada dalam tahap maksimum.
“Buat masa kini paras empangan seliaan LAP berada pada paras maksimum iaitu Empangan Sultan Azlan Shah di Ulu Kinta, 245 meter dan Empangan Air Kuning di Taiping, 42.52 meter.
“Sekiranya langsung tiada hujan, Empangan Sultan Azlan Shah mampu bertahan selama tiga bulan setengah, manakala bagi Empangan Air Kuning boleh bertahan selama dua bulan.
“Untuk makluman, alhamdulilah kedua-dua empangan berkenaan belum pernah mengalami penurunan sehingga ke paras kritikal sejak ianya dibina,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, keadaan cuaca panas ketika ini tidak menjejaskan paras empangan berkenaan ditambah pula cuaca hujan di sebelah petang sejak seminggu lalu.
Empangan Air Kuning membekalkan air mentah ke Loji Rawatan Air Kuning bagi kegunaan penduduk sekitar Taiping, manakala Empangan Sultan Azlan Shah membekalkan air kepada penduduk di daerah Kinta dan Kampar.