Tumpuan :
Nasional

Cuaca panas beri rezeki tambahan kepada pengusaha bilis

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KEMAMAN: Cuaca panas yang melanda negeri di pantai timur membawa kelebihan kepada seorang pengusaha ikan bilis di Kijal.

Di bawah panahan cahaya matahari, proses menjemur ikan bilis menjadi lebih mudah.

Hasilnya, ikan bilis menjadi lebih berkualiti dan tahan lama serta mampu memberikan rasa yang lebih sedap.

Pada masa sama permintaan ke atas ikan bilis keluaran Zuria Zulkifli turut meningkat.

Menurut Zuria 35 tahun, beliau mewarisi perniagaan menghasilkan ikan bilis daripada bapanya.

Perniagaan itu beroperasi di Kampung Tengah sejak 30 tahun lalu itu dan beliau kini turut dibantu oleh suaminya Wan Zuraidi Wan Nordin, 40 tahun.

“Dulu keluarga saya memang pengusaha tempatan tunggal yang buat perniagaan ini dan kami turun temurun mewarisi cara pembuatan ikan bilis tradisional ini,” katanya.

Rezeki anak pantai

Ibu kepada lima cahaya mata itu berkata, jika dahulu beliau hanya mampu menghasikan sebanyak 40 kilogram ikan bilis sehari berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Namun, pada musim panas ini jumlah itu dapat ditingkatkan kepada kira-kira 100 kilogram ikan bilis sehari.

“Kalau hari biasa selalunya nak keringkan ikan makan masa sikit. Selalu dua tiga hari baharu kering. Itu pun tak berapa kering. Musim panas nak keringkan ikan memang senang, Jemur pagi, petang dah boleh angkat. Dan kualiti ikan memang jadi bagus,” katanya.

Dibantu suami

Menurut Zuria, beliau tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan bekalan ikan bilis segar kerana suaminya merupakan seorang nelayan dan kebiasaan suaminya akan memukat ikan di sekitar perairan Kemaman.

“Suami memang setiap hari turun mukat ikan jadi untuk dapat bekalan tu memang tak ada masalah cuma jenis ikan tu je ada yang senang, ada yang susah nak dapat,” ujarnya.

Tambahnya, antara yang mendapat permintaan tinggi ialah ikan bilis jenis putih, tembaga merah dan tembaga hitam.

 

Paling melegakan Zuria apabila pelanggan dari luar Terengganu juga semakin ramai yang mendapatkan bekalan ikan bilis daripadanya.

“Pembeli ni dia ada yang suka jenis tradisional sebab rasanya yang asli dan sedap berbanding dengan yang guna pengawet. Dari segi rasa memang tak sedap. Ada juga pelanggan dari negeri Pahang sanggup datang semata–mata nak beli ikan bilis saya,” katanya.

Beliau juga berhasrat untuk menurunkan ilmu menghasilkan ikan bilis secara tradisional kepada  generasi muda agar ianya tidak lupus ditelan zaman.

Loading...
Terkini