Oleh: Zahir Senapiah
JOHOR BAHRU: Paras simpanan air di 7 buah Loji Rawatan Air (LRA) di Johor mencatat penurunan ketara dan dijangka sampai ke tahap kritikal, sekiranya cuaca panas berterusan melanda negara ketika ini.
Menurut Pengarah Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) Johor, Azlan Afandi Sauffee Afandi, tiga empangan yang mencatat penurunan agak ketara ialah Empangan Machap di Kluang, empangan Gunung Ledang di daerah Tangkak, dan empangan Gunung Pulai 2 di daerah Pulai.
Katanya, berdasarkan data yang direkodkan, empangan lain yang turun mencatat penurunan termasuklah empangan Sembrong Barat, Congok, Pontian Kecil dan Upper Layang.
Ujarnya, empangan Machap merekodkan paras takungan 14.88 meter berbanding paras kritikal 14.84 meter dan bekalan yang ada hanya mampu bertahan untuk 2 hari sahaja.
Manakala empangan Gunung Ledang di Tangkak merekodkan paras takungan pada 306 meter berbanding paras kritikal 305.4 meter dan bekalan yang ada hanya mampu bertahan selama 11 hari.
Sementara empangan Gunung Pulai 2 di Kulai merekodkan paras takungan pada 134.9 meter berbanding paras kritikal 231.10 dan mampu bertahan selama 42 hari.
Empangan Congok di Mersing juga merekodkan 5.8 meter berbanding paras kritikal 5.08 meter.
Paras takungan empangan Sembrong Barat pula merekodkan paras amaran dengan takungan sebanyak 8.27 meter berbanding paras 7.36 meter dan bekalan yang ada mampu bertahan untuk 79 hari lagi.
Tren penurunan kadar takungan air agak membimbangkan sekiranya tiada hujan dalam tempoh terdekat.
Justeru beliau menyeru orang ramai khususnya di kawasan yang agak kritikal menggunakan air dengan berhemah dan berjimat-cermat pada bulan Ramadan sekarang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.