Oleh: Fatin Hanani Sahimi
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi (Metmalaysia) menjangkakan keadaan cuaca di beberapa negeri utara semenanjung dan Sabah serta Sarawak beransur pulih.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), MetMalaysia Lim Ze Hui berkata, hujan lebat berterusan yang berlaku sejak beberapa hari ini adalah disebabkan negara berada dalam fasa peralihan monsun, yang mana arah angin berubah mengakibatkan beberapa negeri mengalami banjir.
Ia dijangka berakhir pada awal November depan.
Beliau berkata meskipun cuaca direkodkan bertambah baik namun pihaknya turut menjangkakan hujan lebat dan ribut petir pada sebelah petang di semua negeri.
“Pada masa ini keadaan cuaca di negeri-negeri utara Semenanjung beransur baik, manakala di Sabah dan Sarawak begitu juga.
“Namun begitu dalam tempoh peralihan monsun ini, garis badai yang terbentuk di perairan Selat Melaka masih berpotensi berlaku.
“Begitu juga hujan dan ribut petir pada sebelah petang yang boleh berlarutan sehingga malam yang dijangkakan masih boleh berlaku di semua negeri Malaysia,” katanya ketika dihubungi BuletinTV3.
Dalam pada itu, MetMalaysia dalam kenyataan hari ini turut menamatkan amaran hujan berterusan bagi beberapa negeri antaranya Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
Sementara itu, beliau berkata mengikut data terkini, tiada kawasan titik panas jerebu direkodkan dalam negara.
Namun bilangan itu dilihat mengalami peningkatan di Selatan Sumatera dan Kalimantan dengan masing-masing merekodkan sebanyak 233 dan 284 titik panas.
Terdahulu di Sarawak, jerebu melanda hampir seluruh negeri itu dengan dua stesen mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada kadar tidak sihat, manakala 10 stesen lain mencatatkan bacaan IPU pada kadar sederhana sejak semalam.
Menerusi laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) stesen Sri Aman turut mencatat IPU tidak sihat iaitu 125 mulai jam 7 pagi tadi dan terus meningkat setiap jam sehingga mencapai 133 di sebelah petang.
Di kawasan sekitar Lembah Klang, meskipun bacaan IPU bagi sembilan stesen terlibat pada tahap sederhana, namun tinjauan di sekitar ibu negara siang tadi mendapati jerebu ada kelihatan pada sebelah pagi sehingga tengah hari.
Ia termasuk di Petaling Jaya ,Cheras, dan ibu negara dengan bacaan sekitar 60 sehingga 99.