SHAH ALAM: Biarpun reda rezeki tidak berpihak kepadanya, jauh di sudut hati, peserta Calpis Soda One In A Million (CSOIAM), Mariam luluh mengenangkan dirinya tidak akan beraksi di pentas akhir program realiti itu, Ahad ini.
Sebak ketika ditemu bual media, Mariam yang mendendangkan lagu dipopularkan Dayang Nurfaizah, iaitu Di Pintu Syurga di pentas separuh akhir CSOIAM yang disiarkan secara langsung TV3 dari Studio NTV7, Glenmarie di Shah Alam, kelmarin, akur dengan keputusan juri.
“Tipulah kalau cakap saya tidak kecewa, sedikit sahaja lagi hendak ke peringkat akhir. Saya fikir kenapa buat silap (dalam persembahan), tapi apabila keputusan sudah dibuat, saya terima biarpun luluh.
“Ketika saya dan Jimi diumum ke pusingan ‘battle’ kerana kedudukan terendah, hati saya sudah luluh. Jimi antara peserta paling rapat dengan saya, saya rasa lemah dan fikir bolehkah saya menyanyi, semuanya kerana saya tidak boleh hendak berlawan dengan kawan sendiri,” katanya.
Beliau bagaimanapun mengakui memperoleh pengalaman tidak ternilai, malah tidak menduga mampu bertahan hingga ke peringkat separuh akhir.
“Perjalanan dari minggu pertama hingga ketujuh banyak onak duri dan pengorbanan yang perlu dibuat. Apa yang tidak boleh dilupakan adalah ‘input’ daripada program ini. Saya percaya ini bukanlah titik henti, sebaliknya, permulaan bagi saya,” katanya.
Sebelum disingkirkan, Mariam dan Jimi yang masing-masing beroleh markah terendah perlu melalui pusingan ‘battle’ yang menyaksikan masing-masing menyampaikan lagu Jagalah Diri dan Rahsia Tuhan.
Mariam bertekad meneruskan perjuangan dengan menghasilkan single.
“Saya mahu mulakan pengembaraan dalam bidang ini. Single baharu yang dicipta untuk minggu akhir pertandingan akan dilancarkan.
“Lagu berjudul Idola itu dipilih syarikat produksi. Lagu ini berkait rapat dengan figura yang sangat penting dalam kehidupan, iaitu arwah ayah saya,” katanya yang meraih wang tunai RM10,000 biarpun gagal ke pentas akhir CSOIAM.
Empat peserta meneruskan cabaran ke pentas akhir CSOIAM pada Ahad ini ialah Jimi, Marygrace, Kai Deva dan Zazzleen.
Jimi yang hampir tersingkir, mengakui terkejut apabila Mariam diumum bertarung dengannya dalam pusingan ‘battle’.
“Saya tidak sangka ‘battle’ dengan Mariam. Saya percaya Mariam sudah buat yang terbaik, persembahannya sangat bagus, tetapi itulah rezeki. Alhamdulillah ada rezeki saya untuk sampai ke pentas akhir.
“Saya sebenarnya tidak yakin dengan diri, namun terima apa sahaja keputusan dengan baik, saya percaya dengan rezeki,” katanya.
Pada persembahan separuh akhir, Kai Deva mendendangkan lagu Srikandi Cintaku, Zazzleen dengan Sehati Sejiwa, Marygrace pula mengalunkan Satu Harapan dan Jimi dengan Sedetik Lebih.
Pentas separuh akhir membawa tema Melodi Cerita Kita di mana semua peserta perlu mempersembahkan runut bunyi drama dan filem. Persembahan diadili juri tetap, Datuk Yusry Abdul Halim, Ziana Zain dan Cakra Khan, selain juri jemputan, Shila Amzah.
Keputusan akhir bagi minggu itu ditentukan berdasarkan 60 peratus markah daripada juri dan baki 40 peratus lagi undian penonton.
Pentas CSOIAM minggu itu juga dihiburkan dengan persembahan kumpulan legenda rock tanah air, Search menerusi dua lagu malar segar, Gelora Cintaku dan Fantasia Bulan Madu.
Penyanyi dan komposer dari Indonesia, Ade Govinda turut tampil dengan persembahan istimewa bersama Cakra Khan menerusi lagu Masing-Masing dan Kamu Adalah.
Program realiti nyanyian yang mula mencipta fenomena pada 2006 itu dikendalikan Haniff Hamzah dan Fiza Frizzy. Juara musim ini bakal menerima hadiah wang tunai RM500,000, sebuah kereta bernilai RM200,000 dan kontrak rakaman eksklusif di bawah Alternate Records & Talents selama dua tahun.
Pada minggu akhir yang bertemakan Malam Terpaling Fizz, peserta akan menyampaikan lagu baharu dan sebuah lagu pilihan.