KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengarahkan Cyber Security Malaysia (CSM) menyiasat laporan ketirisan maklumat peribadi pengguna aplikasi MySejahtera.
Pemantauan dibuat merangkumi aspek keselamatan kerana bimbang data itu mungkin disalahgunakan untuk tujuan tidak sepatutnya.
“Berkenaan perlindungan data peribadi ini khususnya berkait isu contohnya MySejahtera, ini perkara sangat penting.
“Saya sudah meminta CSM untuk meneliti, untuk memahami siapa sebenarnya yang telah mengakses ‘super admin’ bagi MySejahtera ini kerana dipercayai jumlah data yang sangat banyak mungkin telah dibawa keluar.
“Kita perlu membongkar perkara sebenar. Tetapi ia bukan hanya melibatkan kementerian ini, kami pantau dari aspek keselamatan tetapi itulah sebabnya kita perlu pinda Akta Perlindungan Data Peribadi,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Menyentuh hala tuju Digital Nasional Berhad (DNB), Fahmi berkata Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) masih dalam proses meneliti dasar semasa pelaksanaan rangkaian 5G negara.
Jelasnya, beberapa sesi libat urus sudah pun dilaksanakan bagi mendapatkan input dan pandangan daripada pelbagai pihak industri dan juga agensi kerajaan.
“Ia bagi memastikan aspek kewangan, teknikal dan perundangan dinilai secara komprehensif. Bagaimanapun, proses penelitian ini tidak ada mengganggu operasi dan perancangan semasa DNB di mana kerja-kerja DNB di lapangan masih diteruskan seperti perancangan asal,” katanya.
Menjawab celahan Datuk Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo), Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) dan Datuk Seri Dr Wee Jack Seng (BN-Tanjung Piai) mengenai masalah internet di kawasan Parlimen masing-masing, Fahmi mengumumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menganjurkan Hari Pelanggan di Parlimen.
Hari Pelanggan itu membolehkan setiap Ahli Parlimen dapat membawa masalah masing-masing terus kepada MCMC untuk diteliti segera.
“Insya-Allah pada 6 dan 7 Mac, saya telah meminta dengan ketua pentadbir Parlimen agar dibuka kaunter bagi MCMC supaya semua Ahli Parlimen datang bawa masalah masing-masing,” katanya. – BERITA HARIAN