comscore
Tumpuan :
Nasional

COVID-19: Usah terburu-buru terima kedatangan pelancong dari China – Pakar perubatan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak perlu terburu-buru menerima kedatangan pengembara dari China, terutama pelancong, sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan COVID-19 secara besar-besaran di negara ini.

Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat dan Ekonomi Kesihatan, Fakulti Perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata kerajaan perlu terlebih dahulu melihat perkembangan semasa berkaitan jangkitan wabak itu bagi mengelakkan kemasukan varian yang belum pernah ditemui dan seterusnya boleh memudaratkan negara.

“Kemungkinan untuk varian baharu masuk ke dalam negara adalah tinggi, tambahan pula kita menghampiri musim perayaan (Tahun Baharu Cina), jadi susah untuk kita mengawal pergerakan.

“Jadi, kerisauan di sini adalah jika mereka membawa kes-kes itu ke Malaysia bersama-sama varian baharu yang kita tidak kenal pasti lagi,” katanya kepada Bernama.

China dilaporkan akan membuka semula sempadannya pada 8 Januari ini selepas hampir tiga tahun ia ditutup berikutan pandemik COVID-19, namun timbul kebimbangan apabila berlaku lonjakan ketara kes COVID-19 di negara itu, baru-baru ini.

Penasihat Pertubuhan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar pula berpendapat belum timbul keperluan untuk mengadakan sekatan terhadap pelancong dari China, namun pihak Kementerian Kesihatan (KKM) bersama syarikat penerbangan harus mengadakan pengawasan ketat.

“Pertimbangkan langkah ketat kemasukan pengembara dari China dan jangan leka. Bagi yang ingin masuk (ke Malaysia), perlu lengkap vaksinasi dan menjalani ujian COVID-19, seelok-eloknya PCR,” katanya.

Dr Zainal turut menyarankan kerajaan mempertingkat kadar liputan dos penggalak bagi vaksinasi COVID-19 dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga mengekang penularan wabak itu.

Beliau berkata, kadar liputan bagi dos penggalak pertama dan kedua yang masih rendah dalam negara ini boleh mendatangkan risiko, iaitu mengambil kira kemungkinan tahap imunisasi masyarakat yang semakin menurun.

Berdasarkan data laman web KKMNOW setakat jam 12 tengah hari tadi, sejumlah 16,278,669 atau 49.8 peratus daripada populasi negara ini telah mengambil dos penggalak pertama, manakala hanya 629,215 atau 1.9 peratus daripada populasi sama mendapatkan dos penggalak kedua.

Sementara itu Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Micheil, berkata negara tidak seharusnya melarang pergerakan mana-mana pengembara, terutama pelancong dari luar negara.

Katanya, kerajaan melalui agensi bawah KKM serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya perlu bersiap siaga memastikan industri perhotelan dan pelancongan selamat serta terjamin.

Jurucakap Malaysia Airlines ketika dihubungi pula menyatakan komitmen syarikat penerbangan itu untuk kekal patuh pada syarat ditetapkan kerajaan dan penguat kuasa dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan penumpang terpelihara.

Pakar Kesihatan Awam Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Moy Foong Ming, berkata orang ramai perlu mematuhi langkah pencegahan sedia ada seperti memakai pelitup muka, terutama di tempat sesak dan pengudaraan kurang baik, selain memastikan status vaksinasi sentiasa dikemas kini serta mengekalkan gaya hidup sihat supaya mempunyai imuniti tubuh yang baik. – BERNAMA

Loading...
Terkini