Tumpuan :
Nasional

COVID-19: Pengurusan surau, masjid diminta ambil langkah pencegahan 

Foto hiasan

PETALING JAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui JAKIM akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri, (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri, (JAIN) untuk mengambil langkah proaktif susulan peningkatan  kes wabak COVID-19.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pengurusan surau dan masjid juga diminta supaya menitikberatkan semula prosedur operasi standard, (SOP) COVID-19.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau menasihatkan jemaah masjid dan surau  mengamalkan  pemakaian  pelitup muka khususnya mereka yang bergejala dan  berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik serta ibu mengandung.

“Langkah ini umpamanya bagi memastikan tempat perkumpulan ramai umat Islam seperti di masjid dan surau yang menjadi tempat mudahnya jangkitan wabak dapat diambil tindakan-tindakan pencegahan awal.

”Selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), saya ingin menyeru seluruh pengurusan surau dan masjid di negara ini agar menitikberatkan semula SOP COVID-19,” katanya.

Umat Islam juga disarankan sentiasa berhati-hati dan  berdoa serta bermunajat agar wabak ini dapat dihindari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan baru-baru ini memaklumkan, sebanyak 12,757 kes COVID-19 dilaporkan sepanjang minggu epidemiologi ke-49  bagi tempoh 3 hingga 9 Disember lalu.

Jumlah itu meningkat hampir sekali ganda berbanding 6,796 kes yang direkodkan pada minggu sebelumnya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini