KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) meminta semua majikan di negara ini agar menerima pakai Sijil Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) bagi individu positif COVID-19.
Menerusi hantara dimuat naik di laman X kementerian itu berkata, ini kerana pesakit COVID-19 perlu menjalani HSO selama lima hari, berkuat kuasa dari tarikh bermula gejala.
Selain itu, katanya, sijil HSO adalah dokumen yang sah di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).
“Majikan juga amat digalakkan untuk membenarkan pekerja yang bergejala tetapi keputusan ujian COVID-19 negatif, untuk bekerja dari rumah.
“Individu yang diberi digital HSO perlu melakukan tangkap layar paparan skrin untuk makluman pihak majikan, selain dinasihatkan untuk melaporkan status COVID-19 dengan jujur,” katanya, malam tadi.
Berdasarkan portal KKMNOW, sebanyak 28,375 kes aktif COVID-19 direkodkan di negara ini, menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 5,141,797 kes, sehingga Ahad lalu.
Seramai 27,689 pesakit COVID-19 yang menjalani HSO, manakala 664 kes dirawat di hospital di seluruh negara.