PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan bagi mengelak jangkitan COVID-19.
Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata 3S yang perlu dielak iaitu kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak dekat.
“Amalkan 3W: Amalkan Wash, Wear dan Warn. Sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup. Pemakaian pelitup muka adalah amat digalakkan,” katanya pada sidang media khas di sini.
Tambahnya, sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau sanitasi.
Manakala bagi yang bergejala, digalak melakukan penilaian kendiri tahap kesihatan serta dinasihat agar tidak hadir ke mana-mana kawasan sesak dan menjadi tumpuan ramai.
“Segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan bagi mendapatkan rawatan lanjut sekiranya gejala bertambah teruk,” nasihatnya.
Beliau turut menggalakkan pengambilan vaksin COVID-19 dos tambahan terutama kepada golongan berisiko tinggi.
Manakala, rawatan antiviral Paxlovid di klinik kesihatan atau pengamal perubatan swasta terdekat bagi individu positif COVID-19 dan berisiko tinggi.
“Secara keseluruhan, walaupun terdapat peningkatan kes COVID-19 yang dilaporkan, keadaan semasa di Malaysia masih dalam keadaan terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada,” katanya lagi.
KKM ujarnya akan terus memantau situasi COVID-19 dan varian berkaitan di dalam dan luar negara.