KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti trajektori gelombang baharu COVID-19 berikutan peningkatan dua kali ganda wabak berkenaan yang direkodkan di Singapura, sejak dua minggu lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata peningkatan kes COVID-19 secara mendadak di negara jiran itu membabitkan dua sub varian baharu Omicron.
“KKM sedang memantau trajektori gelombang baharu peningkatan dua kali ganda kes COVID-19 yang dilaporkan di Singapura.
“Setakat ini, dilaporkan ia membabitkan kes gabungan sub varian KP.1 dan KP.2 yang menyumbang lebih dua pertiga daripada kes COVID-19 di Singapura,” katanya menerusi satu hantaran di X, hari ini.
Dr Dzulkefly memberi penjelasan terbabit sebagai respons kepada pertanyaan seorang pengguna X yang bertanya sama ada Malaysia bersedia untuk berdepan gelombang baharu COVID-19, sebagaimana yang sedang melanda Singapura.
Pengguna terbabit meninggalkan komen dalam satu hantaran infografik menunjukkan peningkatan kes di Singapura bagi tempoh 5 hingga 11 Mei dengan jumlah kes baharu melonjak kepada 25,900.
Jumlah itu mencatatkan peningkatan mendadak berbanding 13,700 kes pada minggu sebelumnya.
Sementara itu, di Malaysia, jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan pada 12 hingga 18 Mei 2024 ialah 1,230 berbanding 1,071 kes pada minggu sebelumnya dengan peningkatan 14.8 peratus.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.