Tumpuan :
Nasional

COVID-19 : KKM pantau jangkaan lonjakan kes selepas cuti hujung tahun

Foto NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau  penularan COVID-19 di negara ini bagi memastikan situasi jangkitan terkawal.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, kawalan dilakukan susulan unjuran KKM bahawa kes COVID-19 akan meningkat selepas sambutan Krismas dan Tahun Baharu, selain musim cuti sekolah.

“Dalam apa-apa yang kita belajar (sebelum ini) berlaku lonjakan kes selalunya ianya akan berakhir dalam empat hingga enam minggu. Jadi kita harap dengan langkah kita buat dapat kawal dan seterusnya kes berkurangan,” katanya pada sidang media khas COVID-19 di sini.

Jelasnya, lonjakan kes  ketika ini adalah seiring trend global yang menyaksikan kenaikan kes di semua negara.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada sidang media sama memaklumkan, sebanyak 20,696 kes baharu COVID-19 dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-50 (ME 50/2023) bagi tempoh 10 hingga 16 Disember lalu.

Jumlah itu meningkat 62.2% berbanding minggu sebelumnya dengan 97% kes adalah kategori 1 dan 2.

Ditanya mengenai bekalan vaksin sedia ada, Dr Muhammad Radzi berkata, stok mencukupi dan orang ramai terutama golongan yang mempunyai komorbiditi dinasihatkan untuk mengambil dos penggalak.

Suntikan pelali berkenaan boleh diambil secara ‘walk-in’ di klinik kesihatan atau hospital atau melalui janji temu di aplikasi MySejahtera.

“Mengenai stok vaksin Pfizer, kita masih dalam perolehan (dengan pengeluar) sebab benda ini baharu terutama sekali generasi baharu vaksin Pfizer iaitu monovalent. Proses itu akan ambil masa dari segi bekalan.

“Bagaimanapun, dengan apa (vaksin) kita ada ini masih lagi efektif dan masih lagi melindungi apa-apa varian dan subvarian yang ada sekarang ini,” katanya.

Loading...
Terkini