KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan pelancong asing yang memasuki negara ini khususnya dari negara yang dikesan merekodkan kadar penularan kes COVID-19 tinggi akan dikawal rapi sepenuhnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekatan akan dikenakan ke atas mereka jika sah dijangkiti wabak berkenaan.
Beliau berkata kerajaan tidak mengambil kira dari mana pelancong asing itu datang dalam melakukan pemeriksaan ketika masuk ke negara ini.
“Kita tak mahu diskriminasi. Kita bagi satu yang telus. Semua (pelancong) yang masuk dikawal rapi. Kalau ada petanda, kesan kepada kesihatan, maka kita tidak akan izinkan (masuk).
“Punca (negara penyumbang kes jangkitan) itu, kalau baca media barat, saya tidak mahu campur. Saya ikut sains, data dan angka. Saya tidak mahu terpukau dengan propaganda asing.
“Kita harus baik dengan semua negara. Kalau ada pembawa wabak dari Amerika Syarikat, kita sekat. Kalau dari China, kita sekat, kerana pelancongan dan ekonomi tidak dapat mengatasi kesihatan dan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Naratif Khas bersama Perdana Menteri terbitan RTM, malam ini.