Tumpuan :
Nasional

Contohi pengurusan padi di Selangor

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Muhammad Sabu.

SEKINCHAN: Pesawah di negeri lain disaran mencontohi rakan mereka di Selangor dalam aspek pengurusan jelapang padi yang mengaplikasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dan Internet kebendaan (IoT) bagi meningkatkan hasil tuaian.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata hasil lawatan kerja beliau ke kawasan tanaman padi di sekitar Kuala Selangor dan Sabak Bernam hari ini, mendapati penggunaan teknologi moden dalam proses penanaman dan pengeluaran padi di kawasan terbabit berjaya menghasilkan antara enam hingga 10 tan sehektar bagi satu musim.

“Jika semua pesawah di negara ini dapat mencapai purata enam tan, bekalan beras di Malaysia sudah mencukupi, jika melebihi enam tan kita sudah boleh eksport beras ke luar negara,” katanya selepas Lawatan Kerja ke Jelapang Padi Selangor, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, jelapang padi di Selangor dilihat lebih subur menghijau berbanding negeri lain yang kebiasaannya ditumbuhi rumput lebih tinggi daripada padi.

“Kita harap teknologi yang diguna di sini boleh digunakan di negeri lain, seperti penggunaan ‘jentanam’ (jentera penanam) yang boleh masuk ke celah padi untuk membuang rumput dan sebagainya supaya semua baja dapat diserap padi,” katanya.

Mohamad berkata, kementeriannya juga sedang bergerak ke arah penggunaan baja organik berbanding baja kimia, selain menukar racun tidak sesuai.

Beliau berkata, pihaknya juga mahu menggalakkan pesawah lebih fokus menjalankan kegiatan pertanian berkenaan secara sepenuh masa bagi meningkatkan hasil tuaian padi.

Pada masa sama, katanya, pegawai kementerian, wakil rakyat dan pihak bank diharap terus membantu pesawah meningkatkan hasil padi terutama menerusi pertukaran sistem pertanian daripada jenis tradisional kepada pertanian bercorak teknologi baharu.

Sementara itu, Mohamad berkata, Agrobank menawarkan moratorium selama enam bulan kepada petani yang terjejas dalam bencana banjir baru-baru ini.

Susulan itu, katanya, pihak berkenaan boleh membuat permohonan di mana-mana cawangan Agrobank mulai semalam.

“Pihak bank turut mengecualikan caj pertukaran kad atau buku simpanan untuk pesawah dan petani yang terbabit banjir,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini