comscore
Tumpuan :
Nasional

Contengan Anime Zameer jadi rebutan

Oleh: Izzatie Rizan

PUCHONG: Seni melukis tidak terhad di atas kertas semata-mata, kreativiti luar biasa bagi mereka yang boleh mengekspresi karya lukisan di mana-mana sahaja.

Seperti dilakukan Mohd Rozamil Mohd Yatim yang mencetus fenomena melalui lukisan berkonsepkan contengan anime pada kenderaan sekaligus menyebabkan karyanya menjadi dambaan peminat kereta serta motosikal.

Mohd Rozamil atau lebih dikenali sebagai Zameer Penbrush merupakan seorang pelukis sebelum aktif dalam bidang ini dua tahun lalu.

Menceritakan pengalamannya, anak jati Seberang Takir, Terengganu ini berkata, teknik borderline diguna pakai, yang dipelajarinya hanya menerusi youtube.

Lebih istimewa, karya yang dihasilkan pada badan kenderaan dibuat secara spontan, sama ada bentuk anime atau komik.

“Saya sebenarnya ‘airbrusher’…conteng-conteng gambar pada kenderaan serta buat mural. Namun saya suka belajar benda baharu sebab bosan buat benda sama jadi saya mula conteng kenderaan guna teknik lain pula.

“Tak sangka ada yang menyukainya sehingga jadi trend. Biasanya saya tidak sediakan lakaran awal, hanya buat berdasarkan gambaran yang diberikan pelanggan sahaja.

“Jika ada yang perlu ditambah, saya akan tambah sehingga pelanggan puas hati,” katanya kepada Buletin TV3.

Setiap karyanya memakan masa tiga hingga lima jam untuk disiapkan dimana sehingga kini dia telah melakukan lebih 60 contengan kenderaan termasuk pada bot serta jentera berat.

Kongsi Zameer, dia juga tidak terlepas daripada menerima kecaman termasuk yang menganggap kerjanya sebagai vandalisme.

“Saya tak simpan dalam hati, biasalah bila kita buat perkara yang orang belum buat, jadi memang akan ada cakap-cakap.

“Apa yang penting kuatkan semangat, niat saya memang nak buktikan bahawa seni ini luas walaupun contengan tapi sebenarnya ianya berpotensi besar untuk ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Tambahnya lagi, setiap karyanya menggunakan pena penanda akrilik yang tidak merosakkan cat asal kenderaan selain mampu bertahan lebih setahun.

Kini dia mula meneroka konsep batik sebagai karya terbarunya.

Kreativiti ‘menconteng’ ini turut menjadi ikutan dua anaknya Muhammad Rassyaq Rayyan, 13 tahun dan Nur Rayysya Rayyana, 11 tahun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini