Tumpuan :
Nasional

Coldplay : Kemuka aduan jika wujud unsur penipuan jualan tiket konsert – KPDN

PUTRAJAYA : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menasihatkan pengguna agar membuat aduan kepada agensi itu sekiranya wujud unsur penipuan dalam penjualan tiket konsert Coldplay.

KPDN memaklumkan aduan rasmi perlu bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut mana-mana akta yang dikuatkuasakan oleh KPDN atau lain-lain kementerian.

“Mereka wajar membuat aduan rasmi dengan mengemukakan bukti-bukti berkaitan,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, KPDN menasihatkan pengguna agar membuat pembelian bijak dengan mendapatkan tiket daripada saluran jualan rasmi dan sah ekoran isu penjualan semula tiket konsert hiburan Coldplay itu pada harga  terlalu tinggi.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai kewujudan akaun di pelbagai platform yang menjual tiket konsert Coldplay dikatakan dikendalikan oleh ’scammers’ dan ada juga laporan mengenai tindakan menjual semula tiket konsert kumpulan itu pada harga amat tinggi, mencecah RM43,200 sekaligus mengundang kecaman ramai.

Coldplay, kumpulan muzik terkemuka dunia akan menjayakan konsert dalam siri jelajah Music Of The Spheres World Tour mereka di Malaysia pada 22 November depan  di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Loading...
Terkini