comscore
Tumpuan :
Nasional

CMA gesa anggota kabinet sokong Bil Kawalan Tembakau

Presiden Persatuan Perubatan Komanwel (CMA) Dr. Muruga Raj Rajathurai – Foto: NSTP

Oleh : Amirulhakim Lokman 

KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Komanwel (CMA) menggesa anggota Kabinet memberi sokongan kepada Bil Kawalan Tembakau apabila ia dibawa kepada jemaah menteri, hari ini.

Presidennya, Dr. Muruga Raj Rajathurai berkata hanya dengan sokongan Kabinet, rang undang-undang ini seterus dapat dibentangkan di Parlimen pada minggu akan datang.

Beliau juga menyeru semua ahli parlimen mengutamakan kesihatan rakyat terutama golongan muda dengan memberi sokongan penuh kepada rang undang-undang itu.

“Hanya jika Kabinet menyokong dan menerima rang undang-undang ini ia boleh dibentangkan dalam Parlimen pada minggu akan datang. Ahli Parlimen mesti mengenepikan perbezaan politik dan fikirkan orang ramai terutamanya yang lebih muda.

“Jika rang undang-undang ini tidak diluluskan, maka kita tidak boleh mengawal industri vape. Jika rang undang-undang itu tidak diluluskan maka generasi muda akan menggunakan vape tanpa sekatan serta tanpa mengetahui kandungannya dan kesan cecair vape,” katanya dalam satu kenyataan.

Tegas beliau, sudah ada kes ‘Evali’ dilaporkan iaitu kecederaan paru-paru akibat penggunaan vape atau rokok elektronik.

Jelasnya, pesakit boleh mengalami sesak nafas yang teruk dan mungkin perlu dimasukan ke hospital.

Pesakit juga katanya  memerlukan bantuan sokongan perubatan jangka panjang yang pastinya akan menyebabkan kerajaan menanggung perbelanjaan tinggi untuk merawat ‘Evali’.

Justeru, CMA menyeru semua ahli parlimen memainkan peranan sebagai wakil rakyat dan melakukan yang terbaik untuk negara berhubung perkara itu.

Loading...
Terkini