comscore
Tumpuan :
Nasional

Clemira Care Cream ada racun berjadual – KKM

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Produk kosmetik jenama Clemira Care Cream disahkan mengandungi racun berjadual iaitu miconazole.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata notifikasi produk kosmetik berkenaan telah dibatalkan Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di negara ini.

Jelasnya produk yang mengandungi miconazole adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan atas nasihat ahli profesional kesihatan.

“Penggunaan produk yang mengandungi bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini.

“Anti-fungal (Miconazole) yang diguna secara tidak terkawal boleh meningkatkan risiko kerintangan dan seterusnya mengurangkan keberkesanannya untuk merawat jangkitan pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, beliau meminta penjual dan pengedar menghentikan penjualan serta pengedaran produk kosmetik terbabit serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Ujarnya, individu yang melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama .

Manakala, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan pula boleh didenda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Mengulas lanjut, Dr Muhammad Radzi turut menasihati orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik itu untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

“Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store,” katanya.

Loading...
Terkini