SIK: Seminggu terpaksa menahan sakit, selepas cincin suasa di jari tangan kanan gagal ditanggalkan.
Itu insiden yang berlaku kepada seorang lelaki di sini, hingga memaksanya untuk datang sendiri ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik bagi membantu menanggalkan cincin berkenaan jam 12.09 tengah hari tadi.
Ketua BBP Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, lelaki tempatan berusia 40 tahun yang menetap di Kampung Melaka, Mukim Sok itu memaklumkan jarinya sakit hampir seminggu.
Katanya, keadaan itu menyebabkan jari mangsa melecet dan luka sehingga menyebabkan ia busuk.
“Disebabkan tidak tahan menahan sakit, dia terus datang sendiri ke balai untuk meminta bantuan anggota kami.
“Bagaimanapun melihat keadaan jari mangsa yang membengkak dan hampir putus, Ketua Operasi yang bertugas, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Matzuki Mat Noh mengarahkan lelaki itu ke Unit Kecemasan Hospital Sik (HS) terlebih dahulu untuk pemeriksaan awal.
“Sejurus selepas itu, sepasukan anggota seramai enam orang hadir ke lokasi bagi membantu petugas kesihatan dengan menggunakan peralatan khas kebombaan bagi tujuan memotong cincin itu,” katanya.
Zulkhairi berkata, pihak bomba mengambil masa hampir 30 minit untuk melakukan operasi itu yang dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan kecederaan serius pada jari mangsa.
Beliau berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada petugas kesihatan untuk tindakan lanjut.
“Hasil soal siasat yang dilakukan, lelaki itu memberitahu, dia mengambil masa terlalu lama iaitu hampir seminggu untuk mengeluarkan cincin yang tersekat kerana pada mulanya dia cuba melakukan sendiri untuk menanggalkan cincin itu namun akhirnya gagal dan jari semakin membusuk.
“Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan tidak memaksa untuk memakai cincin yang ketat untuk elak kecederaan.
“Dapatkan segera bantuan daripada pihak Bomba untuk memudahkan operasi dilakukan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.