Tumpuan :
Nasional

‘Cik Yah’ terima Sarjana Pengajian Persembahan sempena konvo UPSI

Pempengaruh terkenal ‘Cik Yah’ atau nama sebenar Amar Reza bersama ibu, Hanizah dan bapanya, Zainalabidin selepas menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan sempena Istiadat Konvokesyen UPSI ke-26. FOTO IHSAN UPSI

TANJUNG MALIM: Pempengaruh yang dikenali sebagai ‘Cik Yah’ di media sosial atau nama sebenarnya Amar Reza Zainalabidin akhirnya berjaya mencipta satu lagi kejayaan apabila menerima ijazah Sarjana Pengajian Persembahan dari Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Momen istimewa yang berlangsung sempena Istiadat Konvokesyen UPSI kali ke-26 bertempat di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI itu turut disaksikan oleh bapanya, Zainalabidin Mustaffa, 59, dan ibunya Hanizah Abdul Hamid, 54.

Amar 30, membuat kandungan yang membawa watak ibunya sebagai ‘Cik Yah’ dalam memberi nasihat dengan imej emoji mendapat perhatian ribuan netizen.

Beliau mengakui menggalas cabaran besar untuk menyeimbangkan peranannya sebagai pelajar sarjana dan pencipta kandungan.

“Saya bersyukur perjalanan ini tiba di penamatnya. Ia satu perasaan yang melegakan apabila dapat menyempurnakan tanggungjawab ini, lebih-lebih lagi apabila ibu bapa saya hadir menyaksikan kejayaan ini,” katanya.

Menurut beliau yang kini menjadi pensyarah pelatih di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) UPSI, pengalaman sebagai pelajar dan pengajar telah membuka ruang baharu untuk perkembangan intelektual dan kreativiti.

Menurutnya, pengajian ini membantunya memahami kelompongan dalam ilmu pengetahuan sebelum ini dan seterusnya melengkapkan kefahaman terhadap konsep yang lebih luas.

“Belajar tidak hanya membantu saya secara akademik, malah memberi kesan langsung terhadap kualiti kandungan digital yang saya hasilkan,” tambahnya.

Kandungan Amar di media sosial yang sering menggabungkan elemen humor dan Pendidikan, kini terpengaruh dengan pemahaman yang lebih mendalam tentang seni persembahan.

Ini menjadikannya bukan sahaja inspirasi kepada anak muda tetapi juga pembawa pengaruh positif yang memperkaya platform digital tempatan.

“Saya berharap dapat menyumbang kepada pembangunan institusi ini, terutamanya dalam memperkukuh bidang kandungan digital yang masih kurang diterokai di Malaysia,” ujarnya.

Melihat potensi besar dalam bidang kandungan digital, Amar kini berazam untuk melanjutkan pengajian ke peringkat PhD pada tahun hadapan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini