Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] PU Azman diarah bela diri kes amang seksual remaja

KLANG: Mahkamah Sesyen hari ini mengarahkan pendakwah bebas, PU Azman atau Cik Man, membela diri terhadap dua tuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja.

Keputusan dibuat Hakim Mahkamah Sesyen, Syafeera Mohd Said,  selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh yang nama sebenarnya, Azman Syah Alias.

PU Azman diperintah bela diri oleh Mahkamah Sesyen Klang atas dua pertuduhan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki tahun lalu. – Foto NSTP

Susulan keputusan itu, Azman Syah, 42, diberi tiga pilihan untuk membela diri iaitu memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi; memberikan pernyataan tidak bersumpah daripada kandang tertuduh di mana dia tidak boleh disoal balas atau memilih untuk berdiam diri, dalam hal ini mahkamah mesti meneruskan untuk mensabitkannya.

Tertuduh kemudiannya memilih untuk memberikan keterangan bersumpah dari kandang saksi.

Azman Syah menghadapi dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun di sebuah inap desa dekat Kampung Sungai Udang, Klang, masing-masing pada 12.15 pagi dan 1 pagi pada 20 Februari dan 29 Jun 2022.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Hakim kemudian menetapkan 12 Januari depan untuk prosiding bela diri oleh tertuduh.

Loading...
Terkini