Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
PETALING JAYA: Ciapan terakhir Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggalkan seribu satu makna buat rakyat Malaysia.
“Terima kasih lah semua naa. Kita jumpa lagi nanti”, menjadi nukilan terkahir Allahyarham melalui Twitternya buat rakyat Kedah dan rakyat Malaysia keseluruhannya.
4 keping gambar yang menyaksikan Allahyarham tersenyum menyantuni warga kedah di Pekan Nat, Alor Setar mendapat capaian melebihi 1 juta pengguna.
Singgah pi market sat tadi borak-borak dengan warga Kedah di Pekan Nat. Elok tengok semua barang basah semua fresh. Harga pun
berpatutan.Terima kasih lah semua naa. Kita jumpa lagi nanti. pic.twitter.com/OBLLzH9caY
— Salahuddin Ayub (@MyDSA_official) July 21, 2023
Allahyarham gembira melaksanakan tugasnya sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninjau harga barangan di pasar pagi itu, dengan mengenakan kemeja lengan panjang.
Allahyarham tidak lokek dengan senyuman menyantuni peniaga dan pengunjung.
“Singgah pi market sat tadi borak-borak dengan warga Kedah di Pekan Nat. Elok tengok semua barang basah semua fresh. Harga pun berpatutan,” tulisnya menerusi ciapan terakhir.
Allahyarham yang memperkenalkan Menu Rahmah sudah pasti akan sentiasa terpahat dalam ingatan rakyat Malaysia.
“Menu Rahmah adalah warisannya. Siapa sangka, kita boleh beli hidangan lengkap yang lumayan di KFC, McD dengan harga RM5.
“Semoga Allah mengampuninya dan mengurniakan Jannatul-Firdaus,” tulis seorang gadis membalas ciapan terakhir Allahyarham.
Memetik laporan Berita Harian, perwatakan sederhana Allahyarham sedemikian bukan sesuatu yang asing bagi mereka yang biasa mengikuti perkembangannya, malah keperibadian itu jugalah yang dibawanya sebagai ahli politik.
Ironinya, tatapan kesederhanaan menerusi empat keping foto itu turut menjadi catatan peribadi terakhir yang ditinggalkan Allahyarham buat semua.
Seperti mana ayat terakhir ciapannya, “Kita jumpa lagi nanti.”
Artikel berkaitan: Pengebumian jenazah Salahuddin jam 12 tengah hari