Oleh: Selwam Arjunan
GEORGE TOWN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang bagi penggal kedua, jam 9.35 pagi tadi.
Istiadat mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah rahsia dilakukan Kon Yeow di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Seri Mutiara di sini.
Kon Yeow, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota turut menandatangani watikah pelantikan jawatan.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sayuti Bakar; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Law Choo Kiang; Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng dan Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir.
Gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) berjaya membentuk kerajaan negeri dengan memenangi 29 daripada 40 kerusi dewan undangan negeri dalam Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang, semalam.