Tumpuan :
Nasional

China tambah lagi tawaran 1,000 biasiswa kepada lepasan TVET

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Majlis Perasmian Program TVET Place & Train UTeM@KPT di Dewan Canselori, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). – Foto: NSTP

MELAKA: Kerajaan China menawarkan tambahan 1,000 biasiswa lagi kepada lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk menjalani latihan di negara itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pelajar terpilih akan menjalani latihan dalam pelbagai bidang kemahiran antara tiga bulan hingga satu tahun di negara Tembok Besar itu.

Ia adalah antara sebahagian daripada “Belt and Road Initiative (BRI).

“Kerajaan China akan membiayai 100 peratus kursus termasuk kemudahan dan lain-lain. Ini satu tawaran yang baik dan penempatan dibahagikan antara institusi TVET yang ada.

“Mereka cuma meminta supaya tiket kapal terbang sahaja yang dibiayai oleh pelajar dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan biayai tiket pergi dan balik untuk pelajar TVET kita,” katanya.

Foto: NSTP

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Program TVET Place & Train UTeM@KPT di Dewan Canselori, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal hari ini.

Tambahnya, pelajar berkenaan akan menjalani latihan dalam bidang teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV), bateri, keselamatan siber dan sebagainya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Datuk Seri Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, ekosistem TVET di negara ini amat kompleks.

Justeru, ia memerlukan pengurusan dan kemahuan politik yang tinggi daripada semua menteri yang terlibat di dalam Majlis TVET Negara (MTVET) supaya ia mampu menjadi pemangkin utama melonjakkan sosioekonomi negara.

“TVET akan memperkukuh dan memperkasa negara kita untuk menangani isu-isu dari segi penggunaan tenaga kerja dari luar negara,” katanya.

Ujarnya, kerajaan serta institusi pendidikan perlu melihat tumpuan terhadap bidang tertentu dengan perkembangan teknologi semasa agar negara tidak ketinggalan.

“Kita harus tahu dahulu masyarakat menganggap TVET sebagai bidang sampingan atau kelas kedua, namun insya-Allah dengan gaji premium dan nilai tambah ditawarkan, saya yakin TVET akan jadi pilihan utama kepada pelajar sekolah menengah kelak.

Saya akhirnya mengharapkan kita bersama-sama melangkah ke hadapan bagi meneroka bidang baharu seperti aeroangkasa, pembinaan kapal, teknologi rel, robotik, keselamatan siber dan bidang lain,” katanya.

Loading...
Terkini