comscore
Tumpuan :
Nasional

Chegu Bard direman 2 hari berhubung hantaran di media sosial

Chegu Bard.- Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard ditahan dan direman dua hari untuk siasatan mengikut Akta Hasutan 1948.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata majistret Mahkamah Kuala Lumpur membenarkan Chegu Bard direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama dua hari bermula hari ini sehingga esok.

“Polis Diraja Malaysia mengesahkan telah membuka kertas siasatan dan membuat tangkapan terhadap Badrul Hisham Bin Shaharin @Chegu’Bard pada 27 April 2024.

“Tangkapan berhubung hantaran yang mengaitkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dengan isu pembinaan kasino di Forest City serta melibatkan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai benteng kritikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Shuhaily, siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Bukit Aman.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan kebencian atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya kes ini masih dalam siasatan dan pihaknya menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman awam.

“PDRM menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menggunakan platform terbabit sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara,” katanya.

Terdahulu, Chegu Bard yang juga Ahli Jawatankuasa Penerangan BERSATU ditahan polis malam tadi, dipercayai berkaitan satu hantaran oleh beliau di media sosial mengenai projek kasino di Forest City.

Menurut peguam, Rafique Rashid, Chegu Bard ditahan di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Tapah, Perak kira-kira jam 7 malam tadi, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.

Chegu Bard didakwa menyindir Anwar mengenai hub kewangan yang akan dibina di Forest City, Johor, menerusi satu hantaran di Facebooknya.

Beliau turut berterima kasih kepada agensi berita Business Times Singapore dan Bloomberg kerana melaporkan berita berkenaan kepada umum.

Sebelum ini, Anwar, Berjaya dan Genting Malaysia menafikan laporan Bloomberg, selain menggesa tindakan diambil terhadap syarikat media terbabit berhubung laporan itu.

Bloomberg melaporkan, Anwar menemui pengasas Berjaya Corporation Bhd, Tan Sri Vincent Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay untuk membincangkan lesen kasino bagi Forest City minggu lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini