KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob teruja ketika beramah mesra dengan pesara guru tadika berbangsa Cina, Chee Hoi Lan yang menerima Anugerah Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1444H/2022M, semalam.
Beliau berkata, Chee yang menerima anugerah itu bagi kategori Ikon Ibu Sejati-Keluarga Malaysia, atas pengorbanan membesarkan anak angkatnya, Rohana Abdullah sebagai orang Islam, selepas ditinggalkan pada usia dua bulan oleh ibu yang juga pembantu warga Indonesia.
“Hari ini (semalam), saya hadir ke majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1444 Hijrah di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. Majlis ini disempurnakan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong (Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah) yang berkenan berangkat menyempurnakan majlis sambutan pada kali ini.
“Saya berasa teruja dan sempat beramah mesra dengan seorang pesara guru tadika berbangsa Cina, Chee Hoi Lan yang membesarkan seorang kanak-kanak beragama Islam dan menjadi antara penerima Anugerah Maulidur Rasul tahun ini.
“Beliau menerima anugerah dalam kategori Ikon Ibu Sejati-Keluarga Malaysia atas pengorbanan membesarkan anak angkatnya, Rohana Abdullah sebagai orang Islam, selepas ditinggalkan pada usia dua bulan oleh ibunya, pembantu warga Indonesia.
“Walaupun beliau beragama Buddha namun beliau membesarkan anak itu secara Islam. Beliau tidak cuba menukar agama anak itu yang belum pun mengenal dan memahami mengenai agama.
Beliau memastikan anak itu mengenali hukum Islam, belajar fardu ain dan makan makanan halal. Chee melambangkan Keluarga Malaysia yang saya impikan,” katanya menerusi catatan di Facebook (FB) semalam.
Pengorbanan menyentuh hati dilakukan Chee disiarkan Harian Metro dalam laporan bersiri, menyiarkan kisah wanita Cina itu menunjukkan kemurnian hati dan kasih sayang yang tinggi memelihara Rohana sejak berusia dua bulan lagi.
Biar berbeza budaya dan agama, itu tidak menjadi penghalang untuknya menumpahkan kasih sayang kepada remaja itu termasuk menyediakan wang belanja untuk mengikuti Kelas Asas Fardu Ain (Kafa).