KUALA LUMPUR: Selebriti sensasi, Rozita Che Wan, atau Che Ta, 51, dilaporkan sudah membayar separuh tunggakan hutang bernilai RM550,000 terhadap Majlis Amanah Rakyat (MARA) susulan hutang tertunggak hampir RM1 juta sebelum ini.
Perkara itu disahkan pengerusi MARA, Asyraf Wajdi Dusuki menerusi muat naik di Facebook.
Ujarnya, tindakan penghakiman terhadap Che Ta juga telah ditangguhkan selepas bayaran telah diterima sejak Jumaat lalu.
“Tindakan pelaksanaan penghakiman terhadap Puan Rozita Che Wan ditangguhkan setelah MARA berjaya mendapat bayaran tertunggak RM550,000 sehingga Jumaat lalu,” katanya.
Bagaimanapun, jelasnya, Che Ta perlu melunaskan baki tunggakan hutang sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan.
“Baki hutang tertunggak hendaklah dijelaskan sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan sebelum penghujung Mac,” katanya ringkas.
Sebelum ini, media melaporkan Che Ta sudah membayar hutang berkenaan berdasarkan tangkap layar perbualan pelakon itu bersama anak bongsunya, Aaisyah Dhia Rana, 10, menerusi aplikasi WhatsApp.
Pada 10 Disember lalu, kediaman Rozita di Kota Damansara, Petaling Jaya dilapor diserbu MARA bersama peguam dan wakil mahkamah berikutan dakwaan gagal melunaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta.
Rozita dilapor masih belum tampil bertemu pihak MARA untuk berbincang mengenai penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman berjumlah RM960,000 dibuat syarikat miliknya, RCW Worldwide Sdn Bhd.
Susulan itu, bahagian undang-undang MARA dilapor dalam proses pemfailan kebankrapan terhadap Rozita dan anak sulungnya, Ammar Effendy yang gagal membayar pinjaman.
Pada 24 Disember lalu, acara lelongan awam membabitkan 34 barangan milik Rozita dengan jumlah keseluruhan bernilai RM902,012.46 sepatutnya diadakan, namun ditangguh atas permohonan pelakon Kiah Pekasam itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.