Tumpuan :
Nasional

Chatbot AIFA tangani berita palsu

Menteri Komunkasi, Fahmi Fadzil semasa hadiri Majlis Pelancaran Chatbot Sebenarnya.my di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Oleh: Syafiqah Damanhuri

CYBERJAYA: Kerajaan meluncurkan chatbot kecerdasan buatan (AI) yang dipanggil AIFA atau Artificial Intelligence Fact Check menerusi aplikasi Whatsapp dan portal Sebenarnya.my untuk mengekang berita palsu di media sosial.

Menteri Komunkasi, Fahmi Fadzil berkata, chatbot itu boleh diakses secara empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil untuk pengguna mendapatkan maklumat sahih.

“Kita sediakan aplikasi ini untuk bantu rakyat Malaysia berdepan dengan pelbagai berita palsu fitnah dan isu-isu yang dibangkitkan.

“Pengguna dalam aplikasi whatsapp boleh berkomunikasi dengan AIFA untuk mendapatkan pengesahan tentang maklumat atau berita yang mereka terima. Malah mereka juga boleh berkomunikasi mengenai apa-apa isu untuk mendapatkan pengesahan berita.” Katanya dalam sidang media di Majlis Pelancaran Chatbot Sebenarnya.my di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Dalam ucapan, beliau turut memaklumkan pada 2024, MCMC telah memohon penurunan 19,546 kandungan berita palsu daripada pelbagai platform dalam talian.

Daripada jumlah itu, 17,245 kandungan diturunkan setelah turut disahkan sebagai berita palsu oleh kesemua platform terlibat.

“Manakala tahun ini, setakat 27 Januari (semalam), MCMC memohon penurunan 1,575 kandungan berita palsu. Daripada jumlah tersebut, 1,233 kandungan berita palsu telah diturunkan oleh platform berkaitan.

“MCMC giat memperluas kerjasama erat dengan platform media sosial serta agensi penguatkuasa lain bagi menangani isu penyebaran maklumat palsu.” ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini