Oleh: Selwam Arjunan
KUBANG PASU: Beberapa kawasan di Changlun, di daerah ini dilanda banjir susulan hujan berterusan malam tadi.
Sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun pada jam 1.30 petang bagi memindahkan mangsa banjir yang terjejas.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapt. (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata, Kampung Nangmah merupakan yang paling awal dinaiki air pada jam 6 pagi.
“10 buah rumah terjejas setakat ini. Hasil pemantauan mendapati trend air semakin menaik dan ketinggian paras air mencapai 4 kaki.
“Anggota APM di lapangan masih melakukan pemantauan dan telah menasihati mangsa untuk berpindah ke tempat yang selamat dan bersedia untuk berpindah ke PPS.
“Bilangan mangsa banjir terjejas masih dalam bancian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, beliau juga memaklumkan lapan sungai di daerah Kubang Pasu dan Padang Terap menunjukkan trend paras air yang meningkat.
Katanya, di Kubang Pasu, Sungai Laka mencatat ketinggian 22.5 meter (m), Sungai Kubang Ara (22.41m), Sungai Sintok (45.8m) dan Sungai Bata (8.8m).
“Manakala di daerah Padang Terap, Sungai Sari (28.3m), Sungai Janing (26.01m), Sungai Perik (13.8m) dan Sungai Padang Terap (16.2m), kesemuanya mencatatkan paras air meningkat,” ujarnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.