TELUK INTAN: Empat kawasan sekitar Changkat Jong dinaiki air, malam tadi mennyebabkan seramai 50 mangsa daripada 16 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Ia berpunca daripada limpahan air Sungai Bidor akibat hujan lebat hingga tengah malam.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak berkata, kesemua mangsa terjejas dipindahkan ke PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, di sini, yang dibuka pada 7 malam.
“Kawasan terjejas membabitkan Lorong Kedah; Lorong Belakang Klinik; Batu 9 Simpang 3 dan Batu 10, masing-masing dekat Changkat Jong.
“Pecahan mangsa mengikut kategori merangkumi kanak-kanak lelaki (12), kanak-kanak perempuan (9), lelaki dewasa (13) dan wanita (16),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihak APM akan terus membuat pemantauan secara berkala dan semua mangsa yang terkesan masih berada di PPS setakat 10 pagi tadi.