Oleh: Kumaran Rajamoney
AYER TAWAR: Kerajaan Negeri Perak akan mempercepatkan pemerolehan Sijil Layak Menduduki (CFO) bagi bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Ayer Tawar susulan kebakaran yang memusnahkan struktur bangunan lama sekolah itu semalam.
Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, Sivanesan Achalingam berkata, usaha ini akan dibawa ke perhatian Menteri Besar dalam mesyuarat Exco, selain perbincangan dengan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) untuk mempercepatkan proses kelulusan.
“Memandangkan bangunan ini dibina mengikut spesifikasi Jabatan Kerja Raya (JKR), saya yakin kelulusannya tidak menjadi masalah besar. Kami akan berusaha mendapatkan kelulusan ini menjelang minggu-minggu awal sesi penggal persekolahan tahun 2025-2026,” katanya.
Sivanesan memaklumkan bahawa sementara menunggu CFO, murid-murid akan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Kita juga akan mengenal pasti peralatan dan kemudahan lain yang diperlukan pihak sekolah serta berusaha mencari dana untuk penggantian. Bantuan awal persekolahan sebanyak RM200 setiap murid akan disalurkan melalui peruntukan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham,” jelasnya.
Untuk rekod, bangunan baharu sekolah itu telah siap dibina pertengahan 2023, merangkumi tiga bilik darjah, pejabat, bilik guru, pusat sumber, dan bilik guru besar.
Bagaimanapun, bangunan lama yang dibina pada 1993 musnah lebih 80 peratus dalam kebakaran semalam. SJKT Ladang Ayer Tawar, yang ditubuhkan pada 1938, kini menempatkan 32 murid dan 13 guru.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.