comscore
Tumpuan :
Nasional

Ceramah Ustaz Somad ganti program ‘Melaka Nightlife’

AYER KEROH: Kerajaan Negeri Melaka menggantikan program Melaka Bila Larut Malam atau `Melaka Nightlife’ yang sepatutnya diadakan Sabtu ini dengan ceramah perdana oleh pendakwah nusantara, Ustaz Abdul Somad.

Menerusi satu kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memaklumkan, ceramah sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini adalah satu daripada aktiviti keagamaan yang berlangsung bermula jam 6 petang sehingga 12 tengah malam itu.

“Sambutan peringkat negeri itu akan diisi dengan majlis bacaan Yasin dan doa kesyukuran, diikuti majlis bacaan doa akhir tahun 1445H dan doa awal tahun 1446H, alunan qasidah daripada Kumpulan Ahbabusham dan Kumpulan Ar Rahman serta Majlis Penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri.

“Acara kemuncak sambutan itu adalah ceramah agama oleh Ustaz Abdul Somad dan kami menjangka seramai 70,000 umat Islam dari seluruh negeri akan menghadiri program terbabit,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Sementara itu, Ab Rauf berkata, program Melaka Bila Larut Malam akan diadakan pada Sabtu minggu hadapan di beberapa lokasi pelancongan utama negeri, termasuk di sekitar kawasan zon bebas kenderaan (CFZ) Banda Hilir, di sini.

Katanya, mungkin terdapat beberapa penambahbaikan dalam pelaksanaan program terbabit untuk minggu kedua ini yang sudah pasti memberi kepuasan kepada pengunjung.

“Saya mempelawa semua rakyat untuk sama-sama memeriahkan program Melaka Bila Larut Malam yang menawarkan harga kemasukan ke beberapa lokasi pelancongan pada kadar RM10 seorang berbanding hari biasa,” katanya.

Program Melaka Bila Larut Malam diadakan pada Sabtu minggu pertama setiap bulan, bermula 1 Jun lalu bertujuan untuk memperkenalkan keunikan dan keindahan Melaka pada waktu malam.

Selain menawarkan harga tiket yang jauh lebih murah, tempoh operasi di beberapa lokasi pelancongan serta premis perniagaan yang dilanjutkan sehingga jam 2 pagi itu dilihat mampu merancakkan lagi aktiviti pelancongan serta sektor ekonomi khususnya dalam kalangan usahawan kecil tempatan.

Program terbabit tidak hanya memfokuskan ketibaan pelancong semata-mata, sebaliknya dengan pelbagai promosi serta tawaran harga tiket serendah RM10 itu secara tidak langsung dapat merancakkan pendapatan peniaga kecil dan serta penggiat industri pelancongan di kawasan sekitar.

Sebanyak enam lokasi pelancongan di Melaka yang terpilih sempena program Melaka Bila Larut Malam itu iaitu Zoo Melaka, Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, empat muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Muzium Penjara serta Panggung Bangsawan Melaka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini