SEPANG: Kes penahanan lima individu, termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah stesen penyiaran di Sarawak, kerana disyaki terbabit dalam pengubahan wang haram masih dalam siasatan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurutnya, butiran lengkap kes belum dapat didedahkan kerana siasatan baharu sahaja dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
“Biar pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) lengkapkan siasatan dulu,” katanya selepas meninjau sistem kod respons pantas (QR) di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi tadi.
Turut hadir, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban.
Polis semalam melaporkan penahanan lima individu, termasuk seorang wanita, seorang lelaki berjawatan CEO, dan dua anaknya, menerusi serbuan berasingan di Kuching dan Pulau Pinang dalam Op Ragada.
Hasil operasi oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman turut menyaksikan rampasan aset bernilai RM17.4 juta, termasuk kenderaan, akaun bank, dan dokumen.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), serta beberapa seksyen lain di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.