comscore
Tumpuan :
Nasional

CCUS bukan penyelesaian utama capai sasaran pelepasan karbon sifar bersih

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Industri penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) tidak boleh dilihat sebagai satu-satunya penyelesaian utama untuk mencapai penyahkarbonan.

Sebaliknya, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, industri berkenaan akan melengkapi usaha sedia ada bagi mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih.

“Saya ingin tekankan bahawa CCUS hanyalah sebahagian daripada pelbagai strategi dan aktiviti yang sedang diusahakan oleh Malaysia untuk menangani perubahan iklim serta mencipta peluang ekonomi hijau.

“Walaupun CCUS bukan teknologi baharu, penggunaan yang meluas masih terhad kerana kos yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, analisis Laporan Penilaian Keenam (AR6) Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) mengenal pasti CCUS sebagai teknologi penting untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) terutama dalam sektor yang sukar untuk dinyahkarbonkan seperti industri berat (simen dan keluli) serta beberapa proses kimia.

Selain itu, Persidangan ke-28 Pihak-Pihak kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC COP28) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada tahun lalu turut menekankan kepentingan teknologi rendah karbon dan teknologi pengurangan GHG berasaskan kejuruteraan seperti CCUS.

Ia bagi menyokong usaha global mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius selaras matlamat Perjanjian Paris.

“Terdapat perdebatan yang meluas mengenai cabaran CCUS memandangkan ia memerlukan jumlah tenaga yang besar untuk beroperasi.

“Selain itu, terdapat risiko kesan ke atas alam sekitar akibat dari kebocoran karbon dioksida yang disimpan,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Nik Nazmi, cabaran tersebut dapat diatasi melalui kemajuan teknologi, rangka kerja pengawalseliaan yang kukuh, menyediakan insentif yang sesuai kepada industri dan melaksanakan inisiatif penentuan harga karbon untuk menjadikan CCUS berdaya maju untuk dilaksanakan.

Terdahulu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilapor berkata, Kerajaan Persekutuan mengenal pasti empat negeri iaitu Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak berpotensi sebagai peneraju dalam industri CCUS.

Beliau berkata, ini kerana kesemua negeri tersebut mempunyai telaga minyak tamat tempoh operasi dan infrastruktur yang sesuai untuk aktiviti CCUS di kawasan tersebut.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, CCUS merupakan antara penggalak utama dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Kajian Strategi Jangka Panjang Pembangunan Rendah Karbon (LT-LEDS) negara.

Kedua-dua dokumen itu juga menekankan peranan CCUS dalam menyokong aspirasi negara kita untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih pada tahun 2050.

“Kejayaan merealisasikan industri CCUS meningkatkan potensi bagi negeri di Malaysia untuk mengambil bahagian dalam ekonomi hijau, meningkatkan rantaian nilai dan tahap pembangunan serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini