IPOH: Susulan penyusutan drastik paras air akibat fenomena cuaca panas di Empangan Bukit Merah yang menjadi nadi pengairan dan kegunaan di wilayah utara negeri Perak yang kini berada pada status kritikal, hanya membabitkan bekalan pengairan tanpa catuan bekalan domestik.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata kawasan pengairan yang terbabit dengan catuan itu ialah meliputi Kompatmen E (Alor Pongsu) dan Kompatmen F (Bagan Serai) yang disalurkan melalui Terusan Besar.
Katanya, selain itu pengairan yang turut mengalami catuan adalah Kompatmen G (Selinsing ) dan Kompatment H (Gunung Semanggol) yang bekalan airnya disalurkan melalui Terusan Selinsing.
Mengenai penyaluran air dari empangan itu, Mohammad Nizar berkata, ia disalurkan bagi mengairi kawasan pengairan membabitkan kawasan pengairan di daerah Kerian, dan sebahagian selatan Pulau Pinang iaitu Sungai Acheh yang meliputi sebanyak lapan kompatmen yang berkeluasan keseluruhan 20,000 hektar.
“Setakat ini sebanyak tiga kompatment sudah selesai menerima bekalan air (tutup bekalan) dan lima kompatmen lagi sedang menerima bekalan air. Selain itu penyaluran air empangan ini juga disalurkan untuk bekalan air domestik yang diambil oleh Lembaga Air Perak (LAP) di tiga muka sauk iaitu di Loji Gunung Semanggol, Loji Sg Rawa Bagan Serai dan Loji Jalan Baru.
“Semua bekalan pengairan dan bekalan air domestik ini disalurkan melalui dua terusan utama iaitu Terusan Besar membabitkan penyaluran 350cusec (9.911m3); dan Terusan Selinsing membabitkan penyaluran 220cusec (6.230m3,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Setakat jam 7.30 pagi tadi, Empangan Bukit Merah mencatatkan paras air 6.995 meter (m) (22.95 kaki), meningkat berbanding 6.965m yang dicatatkan semalam namun masih pada tahap kritikal pengairan iaitu pada status Aras Kritikal Pengairan Tahap 1.
Kata Mohammad Nizar lagi, bagi tindakan segera, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) daerah Kerian sudah menempatkan pam-pam bergerak di lokasi yang kritikal bagi tujuan pengairan di kawasan bendang (pam kitar semula).
Katanya, mengenai bilangan penempatan pam bergerak, sebanyak 10 nos (3 cusec dan 5 cusec) ditempatkan oleh JPS manakala IADA Kerian (3 nos).
Semalam, media melaporkan JPS sudah membuat permohonan untuk pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di empangan terbabit melalui Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kerian kepada Kerajaan Perak melalui surat bertarikh 1 Jun lalu.
Permohonan itu dibuat berdasarkan kepada ramalan 14 hari ke hadapan membabitkan paras air empangan itu yang disediakan JPS Kerian menunjukkan ‘trend’ penurunan paras air, berdasarkan ramalan dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) yang meramalkan kurang hujan di sekitar empangan terbabit.