PENAMPANG : Catuan bekalan elektrik membabitkan beberapa daerah di Sabah akan dilaksanakan sehingga Julai depan.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata, catuan itu terpaksa diteruskan oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) susulan penggunaan elektrik meningkat dan untuk mengawal sistem Grid Sabah.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya difahamkan keadaan cuaca panas melanda negara baru-baru ini menyebabkan majoriti pengguna menggunakan penghawa dingin di rumah masing-masing dan seterusnya menyebabkan penggunaan bekalan elektrik meningkat.
“Dalam masa yang sama SESB sedang melaksanakan tindakan jangka pendek dengan menambah kapasiti bekalan elektrik melalui penambahan jana kuasa mudah alih,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Pusat Agihan Bekalan Elektrik Sabah (Load Despatch Centre) selepas sesi taklimat bersama SESB, di sini, semalam.
Shahelmey turut mengakui terdapat sedikit kelewatan dari sudut pelaksanaan perancangan jangka masa panjang bagi mengatasi perkara terbabit.
“Jadi saya merayu kepada pihak terbabit dalam pelaksanaan projek bekalan jana kuasa untuk elektrik di Sabah agar memberi perhatian serius dan cepat agar ia boleh dilaksanakan.
“Ini penting kerana ia bukan sahaja mempengaruhi pengguna tetapi juga mempengaruhi penumbuhan ekonomi di Sabah.
“Sekiranya bekalan atau janaan elektrik ini tidak dapat ditambah dalam tempoh terdekat maka ia membantutkan usaha kita untuk menarik pelabur membangunkan industri yang ada di negeri ini.
“Untuk makluman, catuan ini akan dilakukan sehingga bulan Julai tahun ini. Jadi kita berpesan kepada pengguna untuk bersabar,” katanya.
Di samping itu, beliau juga turut menjelaskan catuan terbabit dilakukan untuk memastikan semua kawalan bekalan kuasa grid SESB terkawal bagi mengelakkan kejadian tidak diingini dan semua pengguna menerima bekalan elektrik.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Mohd Yaakob Jaafar pada sidang media berasingan berkata 11 unit jana kuasa mudah alih sudah ditempatkan di seluruh Sabah bagi meningkatkan margin simpanan tenaga elektrik di sistem Grid Sabah.
Selain itu, 17 unit jana kuasa mudah alih akan dipasang Jun nanti.
Beliau juga menafikan dakwaan terdapat unsur sabotaj yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik di negeri ini.
Bagi kejadian gangguan bekalan elektrik pada hari Selasa dan Rabu lalu, Mohd Yaakob menjelaskan ia berpunca dari kerosakan tidak terancang terhadap peralatan di Karambunai serta Putatan.