Tumpuan :
Nasional

Caruman mandatori KWSP pekerja asing diperinci dalam Mesyuarat Kabinet – Steven Sim

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Pelaksanaan caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing akan diperincikan dalam Mesyuarat Kabinet.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dalam kenyataan memaklumkan, susulan itu rang undang-undang bagi meminda Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991 dijangka bakal dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang kali ini.

“Selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ucapan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada 18 Oktober 2024, pelaksanaan caruman mandatori KWSP untuk pekerja asing adalah dicadangkan sebanyak dua peratus untuk pekerja asing dan dipadankan dengan caruman dua peratus di pihak majikan.

“Kadar tersebut akan dikekalkan sehingga kajian selanjutnya pada masa hadapan, dengan mengambil kira kesesuaian semasa,” katanya.

Jelas Steven, langkah berkenaan adalah untuk meningkatkan keadilan dalam pasaran buruh dengan memastikan perlindungan sosial bagi semua pekerja.

Ia selaras dengan piawaian antarabangsa seperti ketetapan Artikel 68 Konvensyen 102, International Labor Organization (ILO) iaitu hak sama rata perlindungan sosial kepada individu bukan warganegara.

Terdahulu, media melaporkan Perdana Menteri berkata caruman KWSP untuk pekerja asing akan ditetapkan pada kadar dua peratus adalah rendah dan tidak membebankan majikan, berbanding cadangan asal pada kadar 12 peratus.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini