comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Cari jalan tangani kes kecemasan kesihatan di premis bertingkat

 

 

Oleh : Siti Khadijah Jaafar

PETALING JAYA : Apabila berlaku kes kecemasan, setiap saat pastinya amat berharga. Bagi pesakit, kelewatan mendapat rawatan awal boleh meragut nyawa. Pasukan perubatan pula pastinya mahu segera tiba di lokasi untuk membantu sedaya mungkin.

Namun bagi pesakit di premis bertingkat, ada ketikanya bantuan lewat tiba atas pelbagai faktor. Perkhidmatan ambulans hanya akan memberi respon terhadap sebarang kes kecemasan.

Manakala kes ringan tidak dibenarkan kecuali mendapat kebenaran atau justifikasi dari Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma.

Sepanjang tahun lalu, sebanyak 25,000 perkhidmatan ambulans digunakan di sekitar Kuala Lumpur untuk pelbagai kes kecemasan. Manakala 70 buah ambulans pula digerakkan setiap hari.

Bagaimanapun, pemandu ambulans juga terpaksa berdepan beberapa cabaran atau kekangan ketika mengambil pesakit sehingga menyebabkan kelewatan.

Pemandu ambulans, Mohd Noor Ariffin Zolbakray yang berkongsi pengalamanya berkata, kekangan itu termasuk berdepan kerenah ketika berurusan dengan pengawal keselamatan, laluan dihalang kenderaan, lif rosak serta tiada papan tanda yang jelas.​​​​​​​

Dia juga turut mendakwa, situasi atau masalah seperti itu sering dihadapi di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Berdepan dengan pengawal keselamatan ni macam-macam ragam. Dia susah nak buka pagar dia minta I.C (kad pengenalan). Kadang-kadang kena ‘parking’ jauh dengan nak tolak ‘stretcher’ lagi serta barang keperluan perubatan yang lain”

Sementara itu, Pakar Perunding Perubatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Umul Khair Mohamad pula berkata, keadaan menjadi lebih kritikal apabila tiada pengawal di pondok keselamatan khususnya waktu malam selain situasi palang pagar yang ditutup.

“Kami terpaksa mencari rukun tetangga di situ, itu pun memakan masa yang lama. Keadaan menjadi kritikal bila membabitkan kes yang memerlukan CPR. Kami terpaksa meninggalkan ambulans di pagar pintu masuk dan terpaksa naik berjalan kaki ke block atau rumah pengadu. Jika ada masalah kerosakan lif lagi teruk”, katanya.

Dakwanya, kelewatan akibat masalah seperti itu menyebabkan 20 hingga 30 peratus pesakit tidak dapat diselamatkan khususnya bagi kes membabitkan serangan jantung yang memerlukan rawatan awal seperti pertolongan cemas, CPR.

Melihat kepada masalah ini, sudah tiba masanya pihak berwajib melihat dan memperhalusi SOP yang boleh dilaksanakan jika berlaku kecemasan kesihatan di premis bertingkat.

Bagi aktivis , Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang yang turut menguruskan perkhidmatan ambulans juga berpendapat pihak berwajib perlu memandang serius masalah terbabit.

“Mangsa hanya mempunyai ‘window period’ selama 10 minit dan selepas 10 minit ‘is already brain death’ dan kita tidak boleh buat apa-apa”

“Saya mohonlah kepada orang awam ataupun pihak kerajaan, kita perlu ada prosedur tertentu bahawa CPR ini mesin AED perlu ada pada setiap high risk condo, premis dan premis sukan”, katanya.

Loading...
Terkini