Tumpuan :
Nasional

Caprice beri keterangan kes muat naik video Zaharif Affendi

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Ariz Ramli atau lebih dikenali sebagai Caprice selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, hari ini, berhubung video yang dimuat naik di media sosial membabitkan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, akibat dilanggar kereta berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Meru.

Pempengaruh media sosial itu memaklumkan bahawa kiriman video tersebut telah dipadamkan atas nasihat daripada pihak polis.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana mereka mendengar dan memberi peluang untuk saya memberikan pandangan. Saya faham kenapa video tersebut perlu diturunkan.

“Tidak baik untuk kita melagakan perkara ini dengan lebih panjang.

“Saya memohon maaf kepada pihak PDRM yang terguris hati ataupun terasa dengan kiriman saya, kiriman tersebut hanya ditujukan kepada orang yang terlibat dalam satu kes di SMK Jati.

“Tiada kaitan dengan anggota lain,” katanya kepada media.

Tambahnya beliau juga memahami mengapa isu ini tidak wajar dipanjangkan lagi kerana ianya boleh mencemarkan imej PDRM.

“PDRM ini adalah satu entiti yang perlu dijaga oleh semua pihak bukan sahaja anggota tetapi orang awam sekali. Kita sebagai orang awam termasuk saya perlu berhati-hati dengan setiap kiriman di media sosial supaya tidak melagakan isu tersebut.

“Pada masa yang sama, saya di sini sentiasa untuk membela mangsa di luar sana membabitkan apa-apa kes. Saya tabik kepada PDRM kerana sentiasa mendengar suara kita walaupun ada orang yang fikir sebaliknya.

“Cara mereka melayan saya, membuktikan mereka sebenarnya mendengar kita,” katanya.

Beliau juga ditemani oleh Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Datuk Afdlin Shauki.

Menurutnya Afdlin dianggap seperti abangnya sendiri kerana memahaminya dalam seni untuk mengekspresikan diri.

“Saya ada meminta tolong dia (Afdlin) bagaimana untuk bersuara mengekspresikan diri dan hari ini dia hadir untuk memberikan sokongan dan semangat,” katanya.

Ariz turut memaklumkan peranti elektronik milknya dan kakitangannya turut dirampas oleh pihak polis.

“Antara yang dirampas adalah dua telefon pintar, sebuah komputer riba, kamera dan kad SDturut dirampas. Walaupun dipanggil untuk memberikan keterangan saya tidak lihat ini sebagai satu bentuk intimidasi. Kita ada undang-undang. Apabila kita langgar undang-undang mereka akan datang kepada anda,” katanya.

18 Disember lalu, pegawai kanan polis, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Ipoh di hadapan Majistret S Punitha.

Loading...
Terkini