Tumpuan :
Nasional

CAP gesa haramkan segera gula-gula vape, rokok

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa tindakan segera diambil termasuk mengharamkan penjualan gula-gula berbentuk peranti vape dan rokok.

Pegawai Pendidikan CAP, N V Subbarow, berkata penjualan gula-gula itu dilihat memberi impak negatif khususnya kepada murid sekolah untuk menghisap vape dan merokok.

Beliau berkata, kanak-kanak berusia seawal tiga tahun terdedah kepada produk yang kelihatan seperti gula-gula, tetapi sebenarnya direka untuk meniru tindakan menghisap peranti vape dan merokok.

“Perkara yang kelihatan tidak berbahaya ini sebenarnya adalah pintu masuk kepada tabiat tidak sihat dengan sesetengah produk mengandungi cecair dan isian semula yang menjadikannya terlalu mudah untuk kanak-kanak terpikat dengannya.

“Apa yang membimbangkan adalah trend ini akan membiasakan tabiat merokok dan vape untuk generasi akan datang, di mana kanak-kanak secara tidak sengaja belajar cara menggunakan peranti yang meniru rokok atau vape sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Subbarow berkata, CAP menggesa pihak berkuasa berkaitan untuk mengambil tindakan segera bagi mengharamkan produk berkenaan dan memastikan pengedar bertanggungjawab.

“Jika tindakan tidak diambil sekarang, generasi muda mungkin terpikat dengan lebih daripada nikotin,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini