comscore
Tumpuan :
Nasional

CAP Gesa Haramkan Produk Import, Tempatan Mengandungi Talkum

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) supaya mengharamkan produk mengandungi talkum di pasaran, sama ada keluaran import atau pengeluar tempatan.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader, berkata KKM harus melaksanakan larangan itu berkuat kuasa serta-merta dan bukan menunggu sehingga tahun depan.

Katanya, bekalan produk sedia ada yang mengandungi talkum hendaklah dikembalikan kepada pengilang masing-masing bagi bayaran balik.

“Larangan penggunaan talkum juga perlu membabitkan produk lain seperti pemerah pipi, bedak asas, ‘concealer’, pembayang mata, bedak muka, maskara, celak, pensel kening dan gincu yang mengandungi bahan karsinogen.

“Didapati bahawa zarah talkum mampu bergerak ke atas sistem pembiakan dan membenam dalam lapisan ovari.”Penyelidik menemukan zarah talkum dalam kanser ovari dan mereka mendapati bahawa wanita yang menghidap kanser itu menggunakan bedak talkum di kawasan kemaluan mereka lebih kerap daripada wanita yang sihat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Syarikat Johnson & Johnson mengumumkan akan memberhentikan penjualan produk bedak bayi berasaskan talkum secara global pada 2023.

Syarikat itu mengumumkan perkara itu, selepas lebih dua tahun menamatkan penjualan produk itu di Amerika Syarikat (AS) yang mengundang ribuan saman berhubung keselamatan pengguna.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat menerusi kajian baru-baru ini mendapati talkum mengandungi kesan gentian seperti asbestos yang diketahui menyebabkan kanser dan tumor selain dianggap karsinogenik.

Sehubungan itu, CAP menasihati pengguna supaya mengelak daripada menggunakan produk mengandungi talkum yang mungkin dilabelkan sebagai talkum atau bedak talkum, talkum kosmetik atau magnesium silikat dalam ramuannya.

“Penggunaan bedak bayi berasaskan tepung jagung, serbuk beras (bedak sejuk) dan aloe vera adalah alternatif yang lebih selamat,” katanya.- BERITA HARIAN

Loading...
Terkini