Tumpuan :
Nasional

Cameron Highlands semakin panas, purata suhu harian cecah 18.91 darjah Celsius

Foto hiasan

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Tahun lalu mencatatkan sejarah sebagai tahun terpanas di Cameron Highlands dengan purata suhu harian mencecah 18.91 darjah Celsius.

Berdasarkan rekod data meteorologi dari tahun 1969 hingga 2024, suhu Cameron Highlands menunjukkan trend peningkatan terutamanya dalam tempoh 10 tahun terakhir.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.86 darjah Celsius berbanding purata suhu harian jangka panjang (1991–2020), iaitu 18.05 darjah Celsius.

“Suhu tertinggi yang pernah direkodkan di Cameron Highlands ialah 27.9 darjah Celsius pada Mei 1998, manakala suhu terendah pula adalah 10.0 darjah Celsius pada Februari 1989,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, terdapat 689 kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands direkodkan dari 1961 hingga kini.

Beliau berkata, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah dipertanggungjawabkan melaksanakan Projek Penghasilan Peta Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC) dengan menerusi projek itu, sebanyak 45 cerun kritikal berisiko tinggi telah dikenal pasti di kawasan Cameron Highlands.

Selain itu, sebanyak lima lokasi di Cameron Highlands juga telah dipasang peralatan sistem amaran awal (early warning system).

“Kesemua maklumat bencana geologi tanah runtuh dan cerun kritikal ini dikongsikan bersama agensi dan jabatan berkepentingan yang terlibat bagi tujuan pengurusan dan mitigasi cerun serta kesiapsiagaan dalam menghadapi bencana geologi tanah runtuh,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini