Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA NERUS: Seramai 1,734 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang terjejas banjir di Terengganu hadir menduduki ujian bertutur Bahasa Melayu yang berlangsung hari ini seperti dijadualkan.
Tinjauan Buletin TV3 di SMK Tengku Mizan, terdapat 99 calon SPM yang terjejas banjir dari SMK Padang Kemunting, menduduki ujian berkenaan, setelah laluan ke sekolah mereka dinaiki air.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan turut hadir membuat tinjauan.
“Sejak malam tadi dan hari ni saya dah buat pemantauan di sekolah dan urusan pelaksanaan SPM melibatkan ujian lisan Bahasa Melayu berjalan lancar dan 100 peratus isu dapat di tangani khususnya calon-calon yang terkesan dengan banjir yang tak dapat akses ke sekolah-sekolah yang menjadi pusat ujian lisan Bahasa Melayu,” katanya.
Mengulas mengenai adakah wujud gangguan emosi dalam kalangan calon SPM yang terkesan bencana banjir, beliau berkata pihaknya telah menangani isu psikososial dengan menggerakkan guru bimbingan dan kaunseling bagi mengatasinya.
“Kita sudah lihat elemen psikososial ini perlu diberi keutamaan dan untuk itu kita menggerakkan guru bimbingan dan kaunseling dari pasukan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidkan Negeri (JPN).
“Semalam saya berpeluang bertemu pelajar yang ditempatkan di sekolah berkaitan di SMK Ajil dan SMK Landas. Keseluruhannya pelajar gembira kerana mereka masih berpeluang menduduki peperiksaaan seperti biasa, maknanya kita dah dapat tangani isu psikososial dan melibatkan calon SPM seluruh negeri Terengganu,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang terkesan banjir dan dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) akan meneruskan pembelajaran dengan menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.