comscore
Tumpuan :
Nasional

Calon pengganti Yang Dipertua Dewan Negara belum diputuskan – Fadillah

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Calon pengganti Yang Dipertua Dewan Negara belum diputuskan lagi susulan kekosongan jawatan itu berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mutang Tagal, baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelantikan itu di bawah budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menentukan calon yang sesuai dan layak.

“(Kekosongan jawatan) itu belum dibincangkan tapi itu di bawah budi bicara Perdana Menteri dan untuk dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diputuskan (mendapat perkenan).

“Siapa (pengganti), belum tahu lagi, dari parti mana atau negeri mana, kita pun tak tahu lagi, masih terlalu awal untuk (buat keputusan),” kataya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof

Beliau ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sains Negara Bilangan 1 Tahun 2024 di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Datuk Mutang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada 10 Mei lalu.

Mendiang disah menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.46 pagi selepas menerima rawatan di pusat kesihatan itu sejak 6 Mei lalu, setibanya di Malaysia dari Azerbaijan untuk lawatan kerja rasmi.

Datuk Mutang, 70, mengangkat sumpah jawatan pada 19 Februari lalu sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-20, menggantikan Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meletakkan jawatan selepas dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak.

Beliau adalah Orang Ulu yang pertama dilantik memegang jawatan itu, selain pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Mas di Sarawak dari 1982 hingga 1990 dan memiliki latar belakang pendidikan serta praktis dalam bidang perundangan

Ditanya sama ada Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan meletakkan calon sebagai pengganti Yang Dipertua Dewan Negara, Fadillah yang juga Ketua Whip GPS berkata, beliau perlu merujuk kepada Pengerusi gabungan berkenaan, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Jelasnya, perkara itu juga belum dibincangkan dalam gabungan tersebut.

“Belum ada (mesyuarat), tak tahu (bila), selalunya yang ini budi bicara Perdana Menteri untuk dibincangkan dengan Yang di-Pertuan Agong.

“Jadi dia (Perdana Menteri) pun belum (berbincang), tak tahu sama ada berbincang dengan sesiapa, saya pun tak tahu. Dia sibuk lagi di Qatar, tunggu dia balik, tanya Perdana Menteri nanti,” katanya.

Datuk Seri Anwar ketika ini berada di Qatar untuk lawatan rasmi selama tiga hari bermula Ahad lalu.

Semalam, Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilapor meletakkan harapan agar pengganti mendiang Mutang dilantik dalam kalangan wakil Sarawak bagi menghabiskan tempoh penggal yang berbaki tiga tahun lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini